ACHEY. FOTO Muhd Sawal
ACHEY. FOTO Muhd Sawal
Najiy Jefri

PELAWAK dan pelakon Achey menunaikan janji untuk menyempurnakan kerja Allahyarham Abam Bocey yang tergendala secara sukarela dan percuma.

Achey yang juga anggota Bocey ketika ditemui berkata, dia melakukan dua ulasan produk di Instagram secara percuma bagi pihak Abam.

"Ia membabitkan produk kurus tetapi kurang sesuai untuk saya kerana saya memang kurus. Jadi, saya lakukannya bersama isteri. Alhamdulillah, tontonan agak tinggi.

"Satu lagi ialah produk minuman dan saya dapat maklum balas yang sangat baik hingga peniaga terpaksa menyuruh saya memadamkan hantaran itu kerana tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Menurut Achey, dia juga tidak lupa membantu balu Abam, Siti Nurhidayah Mohd Ali yang kini menanggung cahaya mata, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang berusia setahun sebulan.

"Saya dan isteri akan berhubung dengan Nurhidayah setiap minggu. Kadang-kadang saya akan menyertai sesi live yang dilakukan untuk menjadikan perniagaannya mendapat perhatian.

"Sekarang Nurhidayah berniaga cempedak goreng, durian dan buah-buahan. Saya akan bantu apa yang boleh dibantu dari segi promosi.

"Saya tidak hanya mengambil berat mengenai isteri dan anak arwah, malah sering menghubungi keluarganya seperti ibu dan adiknya, Ali Puteh," katanya.

Abam meninggal dunia di rumahnya di Gombak pada 10 Februari lalu.

Dalam pada itu, Achey mengakui rindunya terhadap Allahyarham tidak pernah pudar walaupun sudah hampir enam bulan Abam meninggal dunia.

Dia juga kerap menziarahi kubur Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

"Saya menziarahi kubur arwah selepas mendapat keizinan. Hanya saya seorang saja dapat masuk dan sebab itu saya tak muat naik video.

"Saya sering berulang-alik ke Raub, Pahang, jadi saya selalunya singgah di tanah perkuburan itu untuk menziarah kubur arwah. Jujurnya, pemergian arwah meninggalkan kesedihan mendalam buat saya dan Fad.

"Setiap kali saya dan Fad berjumpa, kami akan sedekahkan al-Fatihah dahulu pada arwah, kemudian barulah kami mengenang kembali perjalanan Bocey bersama arwah.

"Nama arwah sering di bibir kami. Jadi, tak banyak yang saya minta, terus berdoa untuk arwah," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Nabil X SugarBomb X Achey di Ruang, Shah Alam.

Mengulas mengenai pelantikannya sebagai duta SugarBomb yang mengeluarkan produk pewangi kereta dan minyak wangi, Achey berkata, tawaran itu adalah rezeki buat dirinya.

Dalam perkembangan lain, Achey juga akan mengeluarkan single terbaharu berjudul Sembuh.

"Saya rancang mengeluarkan tiga single untuk mencukupkan lagu dalam sebuah album tahun ini. Jadi, single seterusnya berjudul Sembuh adalah kesinambungan daripada lagu Sakit.

"Insya-Allah, Sembuh akan diperdengarkan dalam bulan depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 12:45 PM