WAN MAIMUNAH
WAN MAIMUNAH
Norhayati Nordin

"KENAPALAH, nak sangat saya sakit. Namun, Alhamdulillah keadaan kesihatan saya masih lagi baik," kata pelakon air mata, Wan Maimunah.

Menurut Wan Maimunah, 67, kali terakhir dia dimasukkan ke hospital, sekitar tiga tahun lalu. Bahkan, hingga kini dia bersyukur dirinya masih sihat.

"Seingat saya, ketika sakit dahulu pernah mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah, Melaka. Dah lama pun berlalu, sekarang saya sihat-sihat sahaja.

"Alhamdulillah, saya sihat berkat doa setiap hari kepada Allah SWT. Malah, saya juga yakin ramai peminat masih mendoakan kesejahteraan saya. Terima kasih," katanya.

Bagaimanapun, Wan Maimunah berkata dia sebenarnya terkejut apabila menerima kiriman mesej daripada rakannya di Sabah, baru-baru ini.

"Rakan itu bertanya keadaan kesihatan saya, apakah sedang sakit kerana dia mendengar hebahan menerusi sebuah stesen radio.

"Saya tersentak juga mendengar pertanyaannya itu. Ini kerana, hebahan berita berkenaan tak benar langsung kerana saya sihat sahaja. Alhamdulilah, Allah melindungi kesihatan saya.

"Justeru, saya minta janganlah disebarkan lagi berita mengenai saya sakit. Risau juga hati ini, mana tahu lama kelamaan nanti saya memang jatuh sakit," katanya.

Sehubungan itu, Wan Maimunah meminta pihak yang mahu menyebar berita mengenai dirinya terlebih dahulu memeriksa kebenaran maklumat diterima itu.

Katanya, maklumat sahih penting diperoleh terutama berkaitan orang sakit kerana tidak mahu anak, saudara-mara, rakan mahu pun peminat kepada individu berkenaan berasa bimbang.

Terdahulu, Wan Maimunah juga pernah berhadapan tersebarnya berita mendakwa dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut disebabkan masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 7:51 PM