LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Nubhan Ahamad mengakui netizen masih belum dapat memaafkan tindakan dia menunjal kepala isterinya, Afifah Hidayah Ahmad Tawfek dalam video yang tular pada 17 Julai lalu.

Nubhan berkata, walaupun itu hanya lakonan bagi tujuan membuat 'prank', ternyata ia masih tidak boleh dilupakan.

"Walaupun mereka tahu itu hanya 'prank', tapi ramai yang masih tak boleh terima. Berdasarkan komen mereka, kebanyakannya marah dengan tindakan saya itu.

"Walaupun isteri saya okay dan sudah maafkan, nampak gayanya tidak bagi netizen. Mungkin sebab saya tunjal kepala walaupun saya hanya mahu menghidupkan watak dan situasi," katanya.

Berkongsi mengenai video berdurasi dua minit dan 43 saat yang tular itu, Nubhan berkata, ia adalah 'prank' sempena ulang tahun kelima perkahwinan mereka.

Menurut Nubhan yang juga bekas bintang Akademi Fantasi musim keenam, pada adegan 'prank' itu dia menghadiahkan isterinya kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.

"'Prank' ini dirancang sempena ulang tahun kelima perkahwinan kami dan dia memang tak tahu apa-apa. Malah, ketika mengetahui itu adalah 'prank' pun dia masih terpinga-pinga. Ditambah pula saya salah tarikh yang mana sepatutnya ulang tahun perkahwinan kami pada bulan depan.

"Sebab itu sewaktu saya beritahu ia sempena ulang tahun perkahwinan dia agak 'blur'. Tapi tak mengapa sebab anggaplah saya berikan hadiah awal. Saya hadiahkan kereta ini sebab dia sudah lama impikannya dan mudah untuk kami sekeluarga.

"Saya pernah cakap belum ada duit nak beli. Jadi, itu sebabnya saya rancang buat 'prank' dengan tujuan memberikan dia hadiah ini. Kalau tengok di video penuh, dia menangis bersungguh-sungguh sebab tak percaya," katanya.

Menurut Nubhan, itu kali pertama dia 'naik tangan' terhadap isterinya sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

"Saya buat macam kereta hilang dan nak bagi dia menggelabah di kawasan parkir kereta. Tapi, dia pula tidak menunjukkan sebarang reaksi nak gaduh. Sebaliknya dia pula tenangkan saya.

"Sebab itu saya bertindak kasar dengan harapan dia akan bertindak balas. Tujuan saya hanya nak 'prank' dan video itu menjadi.

"Selepas itu, saya terus minta maaf. Memang tak ada niat pun nak tunjal. Sebelum ini tak pernah pun nak perlakukan dia seperti itu. Dia isteri yang sangat baik dan tidak ada sebab untuk saya sakitinya," katanya.

Video penuh 'prank' dengan tajuk Kisah Sebenar Lelaki Dayus yang dimuat naik di saluran YouTube Nubhan Ahamad pada 21 Julai lalu sudah mencecah hampir 300,000 tontonan.

Nubhan dan isteri berkahwin pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 2:45 PM