IDZHAM ISMAIL
IDZHAM ISMAIL
Sudirman Mohd Tahir

SELEPAS aktif bermain gimnasium dan boxing, pelakon, Idzham Ismail memilih untuk menjadikan aktiviti menunggang kuda sebagai hobi baru.

Malah, aktivtiti yang dilakukan sejak bulan lalu membuatkan Idzham Ismail memasang impian untuk memiliki kuda sendiri.

Idzham berkata, membeli kuda bukan sahaja untuk kepuasan diri tetapi boleh dijadikan pelaburan dengan memberi sewa kepada orang ramai yang ingin belajar menunggang kuda.

"Kalau nak beli kuda baru anggaran harga dalam ratusan ribu ringgit. Tapi, kalau beli kuda yang sudah pernah digunakan dianggarkan dalam RM10,000 hingga RM15,000.

"Ramai juga yang beli kuda untuk pelaburan dengan buat perniagaan menyewakan kepada mereka yang ingin belajar menunggang kuda. Mungkin kalau saya beli pun nak buat perkara sama.

"Jadi, macam sekarang saya bersama rakan sedang merancang ke arah itu. Insya Allah, kalau ada rezeki," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Idzham yang popular menerusi drama Bukan Gadis Biasa yang ditayangkan di slot Akasia pada Ramadan lalu, hobi itu turut menarik minat rakan artis lain seperti Riz Amin, Johan As'ari dan Ashraf Muslim.

Idzham yang berlatih di Rimba Riding Club, Seri Kembangan memperuntukan seminggu sekali atau dua kali untuk berlatih.

"Saya mula belajar menunggang kuda sejak awal bulan lalu. Saya ambil kelas dan belajar sampai pandai. Saya mahu menjadikan aktiviti ini bukan saja sebagai hobi tapi juga untuk tujuan kerjaya.

"Kalau ikutkan tenaga pengajar, saya masih pada tahap 'beginner' lagi, tapi sudah ada skil untuk menunggang kuda lari laju. Cuma, masih ada kedudukan badan dan posisi yang kena betulkan.

'Sekarang rakan pelakon seperti Riz Amin, Johan As'ari dan Ashraf Muslim pun turut serta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 1:53 PM