IDZHAM selesa lakon watak antagonis masih tunggu tawaran berlakon.
IDZHAM selesa lakon watak antagonis masih tunggu tawaran berlakon.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON yang mencipta nama menerusi drama bersiri Juvana yang ditayangkan di TV3 pada 2011, Idzham Ismail berkongsi khabar isterinya, Siti Nur Abilah, 28, hamil anak kedua dan usia kandungan mencecah enam bulan.

Idzham, 32, atau nama sebenarnya Muhammed Idzham Ismail berkata, isterinya dijangka bersalin awal Disember depan.

"Alhamdulillah, isteri sekarang hamil anak kedua dan usia kandungan mencecah enam bulan. Insya-Allah, dia dijangka bersalin hujung November atau awal Disember depan.

"Bagi saya ini adalah rezeki apatah lagi anak sulung kami, Sofea Inara sudah berumur tiga tahun. Kiranya, ini waktu sesuai untuk tambah cahaya mata. Lagi pula, kami pernah cakap nak anak tahun ini. Allah mendengar permintaan kami," katanya.

Idzham yang popular menerusi drama Bukan Gadis Biasa berkata, isterinya yang juga pramugari di syarikat penerbangan tempatan berasa fobia pada peringkat awal kehamilan.

Ia disebabkan anak pertama mereka menghidapi 'transposition great arteries' (TGA) atau injap utama jantung dan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia tiga minggu.

"Kalau ikutkan isteri fobia apabila hamil anak kedua, tapi saya sentiasa berikan kata-kata positif dan tidak terlalu tekankan perkara itu. Saya selalu cakap, insya-Allah tidak ada apa-apa.

"Alhamdulillah selepas menjalani pemeriksaan jantung bayi dalam kandungan okay. Setiap hari berdoa semoga proses bersalin dipermudahkan dan bayi diberi kesihatan yang baik," katanya.

Mengenai anak sulungnya, Idzham berkata, Inara sihat dan sangat aktif.

"Selepas menjalani pembedahan dan rawatan susulan selama lebih dua tahun di IJN, sekarang tidak lagi. Perkembangan sekarang tak ada masalah, malah dia sangat lasak dan aktif.

"Syukur dia sihat dan seronok tengok dia bermain. Kalau sebelum ini memang kena pantau," katanya.

HOBI baharu Idzham menunggang kuda selain aktif di gim dan tinju.
HOBI baharu Idzham menunggang kuda selain aktif di gim dan tinju.

Mengenai kerjaya lakonan, Idzham yang kini menguruskan kerjaya sendiri masih menunggu tawaran berlakon.

Malah, Idzham mengakui gemar dan selesa melakonkan watak antagonis kerana menyifatkan ia sangat mencabar.

"Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), belum ada projek besar. Ramai yang baharu bertanya tarikh, tapi belum ada yang 'confirm'. Drama terakhir ialah Bukan Gadis Biasa pada Ramadan lalu.

"Sejujurnya saya selesa melakonkan watak antagonis. Orang cakap nak jadi jahat mudah dengan hanya marah, bergaduh dan pukul orang. Tapi, sebenarnya tidak. Untuk watak antagonis pun memerlukan teknik dan emosi yang betul. Itu yang sukar bagi saya.

"Jadi, apabila sering ditawarkan watak itu saya semakin selesa dan mahu teroka lebih banyak lagi," katanya yang turut membuat ulasan produk bagi menambah pendapatan.

Dalam masa sama, Idzham berkongsi hobi baharu iaitu menunggang kuda selain aktif di gimnasium dan tinju.

Malah, hobi yang dimulakan sejak bulan lalu itu membuatkan Idzham kini memasang impian untuk memiliki kuda sendiri.

Idzham berkata, membeli kuda bukan sahaja untuk kepuasan diri, tetapi boleh dijadikan pelaburan dengan memberi sewa kepada orang ramai yang ingin belajar menunggang kuda.

"Kalau nak beli kuda baharu anggaran harga dalam ratusan ribu ringgit. Tapi, kalau beli kuda yang pernah digunakan dianggarkan dalam RM10,000 hingga RM15,000.

"Ramai juga yang beli kuda untuk pelaburan dengan buat perniagaan menyewakan kepada mereka yang ingin belajar menunggang kuda. Mungkin kalau saya beli pun nak buat perkara sama.

"Jadi, macam sekarang saya bersama rakan merancang ke arah itu. Insya-Allah, kalau ada rezeki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 6:31 AM