Ellen DeGeneres
Ellen DeGeneres
Agensi

SELEPAS berdepan pelbagai isu dan siasatan, program bual bicara The Ellen DeGeneres Show kini akan kembali bersiaran. 

Seminggu selepas pihak WarnerMedia mengeluarkan kenyataan mengenai siasatan akan dilakukan terhadap produksi yang menerbitkan program itu, kesemua pekerja dan penerbit melakukan perbincangan bagi meleraikan permasalahan berlaku. 

Sumber terdekat produksi itu memberitahu media antarabangsa, bahawa ada tuduhan yang benar dan tidak benar. 

"Banyak tuduhan yang benar dan banyak juga tuduhan yang salah. Pihak produksi memaklumkan, mereka kini sibuk menguruskan permasalahan yang berlaku. Namun, semuanya tak akan sama seperti sebelum ini. 

"Satu program yang membawa kegembiraan sepatutnya menjadi satu ruang kerja yang menyeronokkan. Ia mungkin akan buatkan pekerja-pekerja rasa selesa," katanya. 

Beberapa minggu lalu, 10 bekas pekerja dan seorang pekerja produksi The Ellen DeGeneres Show melaporkan mereka berdepan isu perkauman di tempat kerja. 

Sementara itu, 36 bekas pekerja yang lain melaporkan mengenai isu dan gangguan seksual terhadap tiga penerbit program itu iaitu Kevin Leman, Ed Glavin, dan Jonathan Norman. 

Beberapa hari lalu, Ellen juga mengeluarkan kenyataan kepada media antarabangsa mengenai perbincangan pihaknya dengan pekerja. 

"Selepas beberapa ketika, kami adakan perbincangan mengenai keadilan untuk pekerja. 

"Selepas ini, kita perlu lebih banyak berfikir mengenai cara kita menyampaikan kata-kata dan apa juga tindakan kerana ia akan memberi kesan kepada orang lain. 

"Saya gembira isu yang wujud dalam program ini dapat menarik perhatian ramai dan saya berjanji akan melakukanya sepenuh tanggungjawab," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 1:04 PM