Barisan pelakon Keluarga Iskandar The Movie.
Barisan pelakon Keluarga Iskandar The Movie.
Norhayati Nordin


PENERBIT dan pengarah Keluarga Iskandar The Movie, Wan Hasliza Wan Zainuddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak e-dagang terkenal yang menjual karyanya dengan harga RM1.

  Wan Hasliza dihubungi berkata segala tindakan undang-undang itu akan dibuat mengikut prosedur yang betul dan langkah pertama sudah diambilnya ialah membuat aduan di balai polis.

"Dua hari lalu, saya buat aduan di Balai Polis Kampung Melayu Subang berhubung perkara ini dan tindakan undang-undang selanjutnya akan dibincangkan bersama pihak peguam.

"Apapun, saya dapat tahu mengenai  filem Keluarga Iskandar dicetak rompak sejak tayangannya pada 16 Julai lalu apabila ada perkongsian muat naik di Telegram.

"Semua maklumat itu dikongsi oleh peminat filem Keluarga Iskandar yang minta saya ambil tindakan mengenai muat naik secara haram itu dan aduan pun sudah dibuat kepada Astro First," katanya.

Ujar Hasliza, bagaimanapun dia tak sangka pula penjualan hasil karyanya turut dibuat di platform e-dagang terkenal itu. 

"Bagaimanapun, yang pasti sekarang pihak e-dagang berkenaan sudah pun menurunkan iklan filem saya di platform mereka.

"Cuma, untuk tindakan undang-undang akan diambil, saya kena pastikan ada maklumat yang cukup daripada pelbagai sudut termasuk menilai jumlah kerugian," katanya.

  Mengakui kesal dan marah dengan isu terpalit pada filemnya yang dijual RM1, Hasliza berkata senangnya pihak tidak bertanggungjawab itu melakukan 'jenayah siber' dengan penjualan cetak rompak karya orang lain.

 Apapun, katanya dia mengharapkan isu berkaitan cetak rompak yang berlaku ini dapat menemui jalan penyelesaian kerana sudah bertahun-tahun masih tidak dapat dibanteras.

Hari ini, Harian Metro melaporkan dua filem disiarkan Astro First iaitu Keluarga Iskandar The Movie dan Ada Apa Dengan Dosa (AADD) dicetak rompak dan dijual di platform e-dagang.

Susulan itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) kini giat membuat siasatan berhubung perkara itu.

Malah, penerbit filem AADD, Datuk Ayu Puteh bakal menyaman pihak e-dagang terkenal itu sebanyak RM50 juta.

Berikutan, pihak e-dagang itu turut menjual filem terbitan syarikatnya, Pencil Pictures & Records Sdn Bhd secara haram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 5:23 PM