KISMAH Johar. FOTO Aziah Azmee
KISMAH Johar. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON veteran, Kismah Johar yang juga bintang utama filem Keluarga Iskandar The Movie meluahkan rasa terkilannya berikutan isu cetak rompak filem itu yang dijual di platform e-dagang baru-baru ini. 

Kismah yang memegang peranan sebagai Mak Jah mengajak masyarakat supaya terus menyokong karya tempatan. 

"Memang saya sebagai pelakon rasa terkilan apabila kerja keras dan penat lelah kami semua dihancurkan dengan sikap individu tidak bertanggungjawab seperti ini. 

"Saya mohon supaya kita semua dapat terus menyokong industri dan karya tempatan dan sama-sama kita memerangi gejala cetak rompak ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Kismah, sikap individu yang gemar mengaut keuntungan daripada hasil kerja orang lain ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada banyak pihak.

"Janganlah makan untung atas angin. Banyak pihak yang terkesan daripada gejala ini. Selain pelakon, syarikat produksi terutamanya yang paling merasakan kesan.

"Dalam situasi krisis Covid-19 sekarang, filem-filem ditayangkan di platform yang lebih mudah untuk ditonton orang ramai seperti Astro First.

"Sedikit sebanyak, filem ini dapat menceriakan hati semua lapisan masyarakat tidak kiralah apa kaum sekali pun. Jadi, janganlah hancurkan kegembiraan itu," katanya.

Keluarga Iskandar The Movie adalah antara filem yang dicetak rompak dan dijual di platform e-dagang oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Selain filem ini, satu lagi filem yang diterbitkan untuk tayangan di Astro First iaitu Ada Apa Dengan Dosa (AADD) turut menjadi mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 6:29 PM