X
DATUK Ayu Puteh berpuas hati dengan kerjasama diberikan pihak polis. FOTO ihsan Ayu Puteh
DATUK Ayu Puteh berpuas hati dengan kerjasama diberikan pihak polis. FOTO ihsan Ayu Puteh
Norhayati Nordin


PENERBIT filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD), Datuk Ayu Puteh berpuas hati dengan kerjasama diberikan pihak polis dalam perjumpaannya bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, semalam.

Ayu dihubungi berkata beliau ke balai polis terbabit untuk 'follow up' aduan kes berkaitan cetak rompak membabitkan filem terbitannya yang dikesan dijual secara haram di platform e-dagang terkenal.

"Saya sangat berterima kasih dengan kerjasama diberikan pihak polis, termasuk berpuas hati dengan siasatan sudah dilakukan terhadap aduan kes saya itu.

"Secara tidak langsung, saya dapati pihak polis sudah menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyiasat kes itu dan tidaklah saya berasa ia dipinggirkan dan sepi," katanya. 

Terdahulu, Ayu membuat aduan berkaitan kes cetak rompak ke atas filem terbitannya di Balai Polis Mutiara Damansara pada 3 Julai lalu dan kes itu disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Menurut Ayu, tujuan beliau bertemu ACP Nik Ezanee untuk mendapatkan penjelasan lanjut sekali gus mengetahui sejauh mana aduan kes dibuatnya mendapat perhatian pihak berkuasa.

"Saya serius mahu mengambil tindakan undang-undang  terhadap isu cetak rompak ini, apatah lagi ia membabitkan produk syarikat saya. Sebagai penerbit dan pemilik 'halal', saya harus bertindak.

"Tak kisahlah apa orang nak anggap mengenai tindakan saya, walau pun ada yang kata sia-sia tetapi demi hak cipta produk saya, ia wajar dipertahankan.

"Sekarang, saya dah tak peduli dengan apa orang nak cakap kerana yang kena cetak rompak itu adalah produk milik saya dan bukan mereka. Malah, saya bertindak mengikut prosedur yang betul," katanya.

Menurut Ayu atau nama sebenar Normashayu Puteh, sekarang dia harus menunggu tindakan lanjut daripada pihak kementerian bertanggungjawab kerana segalanya ada akta.

"Apabila ada akta, maka itu adalah undang-undang, Jadi, sebagaimana  pihak polis kena tunggu tindakan daripada kementerian berkaitan, apatah lagi saya yang kerdil ni.

"Bagaimanapun, apa yang saya lakukan ini untuk pertahankan hak sebagai pembikin filem. Diharapkan perkara ini mendapat perhatian pihak kementerian berkaitan untuk penyelesaian segera.

Katanya, isu cetak rompak ini pun dah lama dan bukan benda baharu. Jadi, diharapkan dapatlah semua pihak berkaitan memberi kerjasama untuk menanganinya.

Hari ini, Harian Metro melaporkan Ayu bakal menyaman pihak e-dagang terkenal sebanyak RM50 juta, susulan pihak terbabit didapati menjual filem AADD terbitan syarikatnya, Pencil Pictures & Records Sdn Bhd secara haram di platform berkenaan.

Malah, filem AADD dibintangi pelakon Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha dan PU Riz itu dijual pada harga RM1 dan RM5 di platform e-dagang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 9:18 PM