TAMPIL single terbaharu Semangat Impian yang juga kesinambungan cerita lagu Budak Flat.
TAMPIL single terbaharu Semangat Impian yang juga kesinambungan cerita lagu Budak Flat.
Sudirman Mohd Tahir

BERIKUTAN kejayaan lagu Bangun yang turut mendapat tempat kedua pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) lalu, Aman RA melancarkan single terbaharu yang juga kesinambungan kepada cerita lagu Budak Flat yang mengambarkan perjalanan hidup peribadi dalam mencapai impiannya.

Single terbaharu, Semangat Impian itu ditulis bagi menginspirasikan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak mudah berputus asa dalam usaha menggapai mimpi mereka.

Apatah lagi, perjalanan Aman RA dalam industri muzik juga bermula dengan lagu Budak Flat yang mengisahkan dirinya yang menghadapi kesusahan dan realiti harian tetapi tetap memegang kepada impian untuk mengubah nasib.

Selepas Budak Flat diterima baik sekali gus melonjakkan populariti Aman RA, dia kemudian muncul dengan lagu Bangun yang memberi rentak yang lebih positif kepada pendengar dalam menyampaikan pesanan motivasi untuk bangun dan berjuang demi memperbaiki hidup.

Menariknya, Bangun menjadi inspirasi kepada ramai selain lirik 'bangun' itu menarik minat anak muda dan kanak-kanak untuk ikut menyanyi bersama.

Mengenai Semangat Impian pula, ia adalah lagu yang diinspirasikan oleh pencapaian Aman RA di pentas AJL34.

AMAN RA dalam satu babak video muzik Semangat Impian.
AMAN RA dalam satu babak video muzik Semangat Impian.

"Single ini menunjukkan bahawa keazaman dan kepercayaan untuk melalui segala rintangan mendorong dalam merealisasikan impian.

"Malah, menerusi video muzik menonjolkan aspirasi dua pemuda iaitu pemain bola sepak gaya bebas, Muhammad Ariff Abd Karim yang pernah mewakili Malaysia ke peringkat dunia dan pelakon muda, Mohd Daniel Emirrul di mana cerita mereka menggambarkan kegigihan dan semangat untuk mencapai matlamat masing-masing," katanya.

Apa yang pasti, menerusi single terbaharu itu Aman RA berharap ia bakal menjadi pembakar semangat kepada setiap orang.

"Menerusi muzik dan lirik lagu ini, saya mengharapkan agar ia menjadi pembakar semangat dan memberi inspirasi untuk selalu berpegang pada impian dan sentiasa berusaha untuk mengatasi segala rintangan demi mencapai impian.

"Saya mahu lagu ini bukan saja dapat diterima baik, tapi dihayati untuk memberikan satu lagi jalan terbaik dalam diri," katanya.

Semangat Impian boleh didapati di semua platform digital dan video muzik rasmi sudah boleh ditonton di saluran AmanRAVEVO di YouTube sejak 31 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 6:20 AM