X
LIA Natalia.
LIA Natalia.
Sudirman Mohd Tahir

 

PELAKON, Lia Natalia terpaksa membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara bagi melindungi keselamatan diri selepas mendakwa diekori individu tidak dikenali di kawasan tempat tinggalnya, Sabtu lalu.

Lia, 28, atau nama sebenarnya Alia Afiqah Abden berkata, insiden itu pertama kali berlaku sepanjang dua tahun tinggal di kawasan berkenaan.

"Sejak kebelakangan ini saya perasan macam ada orang tahu saya tinggal di mana. Ditambah apabila sudah dua kali 'parcel' atau barang kiriman saya hilang di pondok pengawal. Satu barang yang dibeli sendiri dan satu lagi barang untuk buat ulasan (review).

"Setiap kali pulang rumah, seperti ada yang mengekori. Malah, pembantu peribadi (PA) yang tinggal bersama pun ada memaklumkan ada cubaan membuka pintu rumah saya secara perlahan-lahan selain ada orang selalu lalu-lalang depan rumah.

"Sebelum ini saya tinggal seorang diri dan baru saja ada PA. Tapi, ia tetap merisaukan saya sebab kadang pulang lewat malam dari lokasi penggambaran," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Lia yang popular menerusi drama Bukan Gadis Biasa berkata, polis sedang menjalankan siasatan susulun laporan yang dibuat.

"Sebelum buat laporan polis, saya juga sudah membuat laporan kepada pihak pengurusan tempat tinggal dan pengawal keselamatan.

"Mereka sudah melihat kamera litar tertutup (CCTV) dan sekarang siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 4:20 PM