Lara memegang kit ujian kehamilan.
Lara memegang kit ujian kehamilan.
Najiy Jefri

 

SEMPENA menyambut ulang tahun kelahiran ke-39 hari ini, pengacara Awal Ashaari berkongsi khabar gembira apabila isterinya yang juga pelakon popular, Scha Alyahya hamil anak kedua.

Awal berkata, tiada hadiah lebih bermakna pada sambutan hari lahirnya selain berkongsi kegembiraan itu kepada umum. 

"Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

"Tidak ada hadiah yang lebih bermakna dihari lahir saya selain daripada berkongsi kegembiraan ini dengan semua. 

"Kami bakal menimang cahaya mata kedua dan insya Allah, usia kehamilan sudah empat bulan," katanya.

Menurut Awal, dia memohon agar semua pihak agar mendoakan kesihatan dan keselamatan isteri dan anak yang bakal dilahirkan. 

"Doakan Mommy (Scha) dan bayi dalam kandungan sihat dan dapat menjalani proses kehamilan dengan sempurna. 

"Syukur ya Allah atas rezeki ini dan doakan yang terbaik buat kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, video berdurasi 38 saat itu memperlihatkan keterujaan anak sulung pasangan itu, Lara Alana yang berkongsi berita gembira mengenai  kehamilan ibunya sambil memegang kit ujian kehamilan.

"Mummy sedang hamil. Saya bakal menjadi kakak kepada adik saya nanti, insya Allah. 

"Saya akan menjaga adik lelaki saya nanti. Doakan keselamatan Mummy," katanya.

Bagaimanapun Awal mengusik Lara mengenai bagaimana dia mengetahui adik yang bakal dilahirkan nanti adalah lelaki. 

Secara spontan Lara menjawab, Awal yang memaklumkan perkara itu.

Bagaimanapun, menerusi video itu tidak disahkan jantina anak yang bakal dilahirkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 10:13 PM