ZYNAKAL turut terbabit nyanyi rap guna lirik sendiri dalam lagu Teh Terakhirku dihasilkan Shuib dan Mark Adam. FOTO: Aziah Azmee
ZYNAKAL turut terbabit nyanyi rap guna lirik sendiri dalam lagu Teh Terakhirku dihasilkan Shuib dan Mark Adam. FOTO: Aziah Azmee
Najiy Jefri

HUBUNGAN akrab dua sahabat baik iaitu penyanyi Mark Adam dengan pelawak Shuib tidak perlu dipertikaikan lagi.

Ukhwah dijalinkan mereka, bermula dengan menyertai pertandingan Juara Parodi pada 2015 sehinggalah menjejak kaki ke Tanah Suci Makkah mengerjakan umrah bersama keluarga masing-masing.

Menariknya, ketika berada di Makkah dua tahun lalu mereka mendapat ilham untuk menghasilkan sebuah lagu berjudul Teh Terakhirku.

"Sewaktu kami menikmati teh di Tanah Suci, tiba-tiba melodi lagu ini muncul dalam kepala. Manakala, tajuk lagu pula diperoleh semasa mengerjakan Tawaf Wida.

"Pada masa itu, Mark sempat menyebut 'ini teh terakhir kita' sebelum menaiki bas. Kemudian, dalam perjalanan pulang kami terus berbincang mengenai idea pembikinan lagu," kata Shuib.

Tambahnya lagi, sepanjang berada di Makkah, Mark memang banyak bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan dengan keagamaan.

Disebabkan itu, timbullah ilham untuk kedua-dua selebriti ini menghasilkan lagu berkenaan.

Menurut Mark pula, lagu Teh Terakhirku sebenarnya disimpan selama dua tahun.

Jelasnya, antara sebab mereka terpaksa menunda dilancarkan sehingga tahun ini kerana kekangan waktu berpunca daripada kesibukan kerja masing-masing.

"Saya dapati Shuib seorang yang berbakat besar. Malah, dia sudah ada idea sendiri untuk lirik.

"Memang Tuhan permudahkan segala urusan kami untuk segera mengeluarkan lagu ini sempena Aidiladha yang baharu diraikan.

"Untuk bahagian rap, kami ada mencadangkan beberapa nama. Namun, akhirnya kerjasama nak dirancang tidak kesampaian.

"Akhirnya, peluang nyanyi rap itu diberikan kepada Zynakal yang terus bersetuju dan membuat rakaman tidak sampai setengah jam menggunakan lirik sendiri," katanya.

Kata Mark, lagu Teh Terakhirku bukan sahaja menggunakan metafora rukun umrah sebagai lirik tetapi menyelitkan juga selawat kepada Nabi Muhammad SAW sebagai elemen tarikan.

"Sudah pasti ia bukan sahaja lebih dekat di hati pendengar, tetapi pada masa sama mampu menarik minat kanak-kanak untuk berselawat dan mengenali ibadah umrah," katanya.

Sementara itu, Zynakal berkata, dia tidak menunggu lama untuk menyatakan persetujuan menjalin kolaborasi bersama Mark dan Shuib.

"Lagu ini mempunyai maksud yang mendalam dan padat dengan mesej yang cukup positif.

"Saya jadi teruja untuk bekerjasama dengan mereka. Mark dan Shuib, pada pandangan saya mereka berdua begitu optimis untuk mengeluarkan lagu ini termasuk sudi memilih saya menjalin kerjasama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 6:15 AM