AZREL gigih bekerja mencari wang untuk simpanan masa depan.
AZREL gigih bekerja mencari wang untuk simpanan masa depan.
Norhayati Nordin

SIKAP mudah memberi kerjasama dan tidak menolak apa saja pertanyaan buat dirinya, mendorong kisah peribadi pelakon Azrel Ismail sering diungkap.

Apatah lagi, pada usianya yang mencecah 36 tahun sudah tentu Azrel mula merancang masa depan untuk membina kehidupan berkeluarga.

Malah, pengakuan mahu menamatkan zaman bujang sekitar satu atau dua tahun lagi bagaikan 'satu petanda' Azrel sudah bersedia.

Pun begitu, Azrel dikatakan enggan memilih pasangan yang satu aliran kerjaya seni dengannya berikutan pernah gagal beberapa kali dalam perhubungan dijalin.

Mengulasnya, Azrel berkata pada kenyataan dibuat baru-baru ini, dia sekadar menyebut 'kalau boleh' tidak mahu pasangan berkecimpung dalam dunia seni.

"Bukan saya menolak langsung pasangan dalam kalangan selebriti kerana soal jodoh tiada siapa yang tahu. Allah yang tentukan segalanya.

"Namun, saya pun tak tahu macam mana boleh timbul kekeliruan pada kenyataan itu seperti yang disiarkan sebuah portal hiburan," katanya.

Menurut Azrel lagi, dia yang menghadiri majlis hiburan ketika itu di temu bual beberapa wakil media lain. Justeru, katanya dia tidak pasti bagaimana kenyataan itu disalah erti.

"Namun, saya selesa ambil positif. Bagi saya, setiap orang ada pemahamannya sendiri. Saya tidak marah, cuma memberi penjelasan semula," katanya.

Keperibadian Azrel yang ramah dan mesra membuatkan dia disenangi. Apatah lagi, sikap tidak cepat melatah apabila sering ditanyakan kisah peribadi.

Bagi pelakon drama Menantu Ting Tong di TV3 ini, dia memahami setiap kehendak pertanyaan daripada media dan sebaiknya berusaha memberi kerjasama dua hala yang berkesan.

Sehubungan itu, bagi perkembangan kerjaya seninya Azrel tampil dengan dua drama baharu iaitu Janda Kosmopolitan dan Halim Halima mulai 3 Ogos lalu.

Berikutan agak lama tidak bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Azrel berkata, kini dia giat menjana pendapatan bagi memastikan ekonominya stabil semula.

Ujar Azrel, sekarang tiada cuti dan masa berehat lagi. Kini, sudah ada peluang untuk dia bekerja dan sepatutnya lebih gigih mencari duit bagi simpanan masa depan.

"Bagaimanapun, saya sangat berterima kasih kepada peminat yang masih memberi sokongan. Malah, bersyukur tawaran berlakon pun masih diterima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 6:45 AM