KUMIN KU2
KUMIN KU2
Norhayati Nordin

KEADAAN kesihatan pelakon dan pelawak dikenali Kumin KU2, 49, yang diserang angin ahmar dan ada air berlebihan dalam badan pada 31 Julai lalu, sudah stabil.

Malah, Kumin juga sudah dibenarkan keluar dari Hospital Ampang sejak Jumaat lalu dan kini dia menginap di sebuah hotel di Ampang.

Kumin atau nama sebenar Khuzami Ismail dihubungi berkata dia tidak boleh balik ke kediamannya sekarang kerana memerlukan set katil yang sesuai dan masih dalam tempahan.

"Insya-Allah saya akan balik ke rumah di Pandan Indah, Ampang dalam beberapa hari lagi selepas katil ditempah daripada pihak Coway diperolehi.

"Dalam keadaan kesihatan saya yang belum pulih sepenuhnya serta tidak boleh bergerak terlalu aktif sekarang, katil sesuai sangat diperlukan untuk memudahkan mengurus diri di rumah nanti.

"Saya dapati Coway ada produk katil berkenaan yang harganya RM8,000. Jadi, saya beli secara ansuran mengikut kemampuan dan boleh digunakan dalam tempoh yang lama," katanya.

Ditanya mengenai bantuan daripada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) atau biro kebajikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kumin berkata dia hanya menunggu.

"Bagaimanapun, wakil SENIMAN ada menghubungi saya dan beritahu pihak mereka akan datang melawat saya di hotel ini, esok.

"Namun, yang pasti saya bersyukur keadaan kesihatan semakin baik dan stabil. Saya pun sudah boleh berjalan perlahan-lahan walaupun sedikit sukar," katanya.

Sehubungan itu, Kumin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang mendoakan dan ambil berat mengenai dirinya.

Katanya, dia juga perlu memberi tumpuan untuk rawatan susulan di hospital mengikut temujanji doktor setiap sekali sebulan.

Terdahulu, Kumin mula aktif dalam industri hiburan sejak era 1990-an bersama rakan baiknya Allahyarham Bob Kuman dengan menubuhkan kumpulan duo dikenali KU2.

Berbanding Allahyarham Kuman yang banyak berlakon, Kumin pula memilih lebih memberi fokus pada kerja belakang tabir dan menjadi pengurus produksi.

Selama membina nama bersama KU2, duo ini pernah menghasilkan empat album iaitu Motivasi pada 1994, Evolusi (1997), Album Baru Aku! (1999) dan The Best of KU2 (2001).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 3:01 PM