Penyanyi, Haqiem Rusli. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Penyanyi, Haqiem Rusli. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ridzuan Abdul Rahman


   

"SAYA tak tahu bagaimana nasib dalam industri pada masa depan. Jadi,  sebagai langkah berjaga-jaga saya buat keputusan buka kedai makan dikenali SanThai Village," kata penyanyi dan komposer muda berbakat, Haqiem Rusli

 Haqiem ditemui ketika pelancaran restorannya di Platinum Walk, Setapak, baru-baru ini berkata dia harus bijak membuat perancangan masa depan pada ketika dirinya masih ada 'nilai' dalam industri hiburan.

Pemilik nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli ini berkata, melihat dirinya kini masih diterima baik dan sangat dikenali peminat, ia masa paling bagus untuknya menceburi bidang perniagaan.

 

 "Ini adalah idea saya dan keluarga. Ia mula dirancang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila saya terlalu memikirkan masa depan dan terbabit dalam perniagaan adalah keputusan tepat.

  "Manalah tahu, jika  suatu hari nanti saya dah tiada rezeki dalam nyanyian, diharapkan restoran ini boleh jadi 'back up' dalam kehidupan saya.

 "Saya sebenarnya pernah buat perniagaan lain sebelum ini, tapi tak menjadi. Mungkin kerana lokasinya, kurang sesuai selain tiada pasukan yang mantap. Apapun saya tak serik untuk terus mencuba," katanya.

Penyanyi lagu Jatuh Bangun dan Tergantung Sepi ini memilih steamboat dan barbeku sebagai menu utama di restorannya. 

   "Menerusi SanThai Village, saya cuba wujudkan suasana kampung tetapi hidangan utama adalah sajian Thai yang pastinya menepati cita rasa pelanggan.

   "Malah, yang membezakan menu steamboad di restoran saya dengan tempat lain ialah citarasa asam pedas. Namun, ada juga hidangan sampingan lain boleh dipilih pelanggan untuk dinikmati.

   "Memandangkan kedai ini pun baru dibuka, saya akan berada di sini selama seminggu bagi memantau pelbagai urusan apa yang diperlukan restoran ini," katanya.

   Haqiem berkata walaupun usianya masih muda, tetapi dia sering memikirkan masa depan dirinya dan keluarga jika berlaku beberapa kemungkinan yang berlaku.

  "Saya melihat, persaingan dalam bidang seni sangat hebat. Mungkin pada usia 30-an, saya dah kurang diminati. Tapi saya tidaklah mendoakan yang tak elok untuk diri sendiri.

  "Apa yang nak ditekankan ialah kita kena ada perancangan perniagaan untuk jadi  'back up'  masa depan. Sebelum ini,  saya ada rancang nak buat projek pertanian tetapi, idea restoran ini pula tiba-tiba yang muncul..

 

 "Apapun, saya akan buat satu persatu kerana tak nak terburu-buru. Perancangan untuk buka restoran ini pun, ambil masa selama tiga bulan. Malah, saya akan beri fokus penuh di lokasi ini terlebih dahulu sebelum nak buka cawangan di tempat lain," katanya. 

   Haqiem juga berkata dia akan terus aktif menyanyi dan bakal tampil dengan lagu baharu berjudul Adlina Marie yang diangkat daripada kisah benar di Twitter. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 5:58 PM