NELISSA bersama Kyro Shakur. FOTO IG Nelissa Nezam
NELISSA bersama Kyro Shakur. FOTO IG Nelissa Nezam
Georgie Joseph


ISTERI Ammar Alfian, 33, iaitu Nelissa Nezam, 31, kecewa apabila pelakon itu tidak memberi kerjasama bagi memudahkan proses perceraian yang dituntut.

Nelissa berkata, dia sudah menuntut cerai pada Januari lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur namun Ammar menolaknya pada Julai lalu.

"Saya kecewa kenapa Ammar seakan mahu merumitkan kes ini apabila menolak permohonan cerai itu. Kami pun sudah tiada apa-apa hubungan dan tidak faham apa niatnya berbuat demikian.

"Hakikatnya kami sudah tidak bersama pun sejak setahun lalu," katanya ketika ditemui selepas selesai urusan pelantikan hakam untuk kedua-dua belah pihak di Mahkamah Rendah Syariah, hari ini.

Lebih membuatkan Nelissa terkilan apabila pelakon Paskal itu enggan memberi kerjasama yang baik demi menyelesaikan kemelut antara mereka.

"Ammar tak beri kerjasama, dia belum melantik mana-mana hakam. Selepas Ammar dah lantik hakam nanti baru kami boleh teruskan proses perceraian ini," katanya.

Ammar dan Nelissa mendirikan rumah tangga pada Mac 2016. Bagaimanapun, perkahwinan mereka mulai bergolak apabila Ammar didakwa menjalinkan hubungan sulit ketika isterinya sedang hamil enam bulan.

Hasil perkahwinan itu, pasangan terbabit dikurniakan seorang cahaya mata lelaki dinamakan Kyro Shakur yang kini berusia setahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 3:01 PM