YAMANI Abdillah. FOTO Rohanis Shukri
YAMANI Abdillah. FOTO Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Yamani Abdillah berjaya menurunkan berat badan daripada 112 kilogram kepada 92 kilogram semata-mata untuk mengejar matlamatnya bagi menyertai program realiti Big Stage musim ketiga. 

Yamani yang juga anak kepada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah berkata, dia memilih untuk tidak makan nasi dan makanan bergula demi mencapai misi itu.

"Saya 'potong' pengambilan nasi dan gula sebab saya dah letakkan matlamat untuk turunkan berat badan saya sekiranya saya nak menyertai Big Stage tahun ini," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut penyanyi lagu Bunga Seroja itu, dia tidak mengejar kemenangan menerusi program itu sebaliknya ingin menimba ilmu dan pengalaman. 

"Saya tak sasarkan kejuaraan. Menang atau kalah, saya akan dapat menimba ilmu serta pengalaman baru. 

"Pertandingan ini bukan satu persembahan biasa tetapi saya dan peserta lain perlu memerah otak untuk menjalankan tugasan kami sebagai peserta," katanya. 

Yamani juga bersyukur kerana mendapat restu daripada ayahnya. 

"Saya menggalas tanggungjawab besar sebagai anak kepada Jamal Abdillah. Jadi, ayah banyak berpesan kepada saya supaya dengar cakap dia, pandai pilih lagu dan sentiasa berlatih," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 4:14 PM