VIA akui sukar didekati dan ambil masa untuk mengenali hati budi seseorang.
VIA akui sukar didekati dan ambil masa untuk mengenali hati budi seseorang.
Norhayati Nordin


PERKEMBANGAN muzik dangdut di Indonesia ternyata cukup rancak. Malah, setiap tahun pasti dianjurkan pertandingan pencarian bakat penyanyi dangdut.

Kini, antara nama penyanyi dangdut yang begitu popular dan mendapat tempat di hati kebanyakan penggemar di negara jiran ialah Via Vallen.

Apatah lagi, Via, 29, sampai sekarang masih belum ada kekasih dan selesa hidup solo. Namun, ramai lelaki tertarik untuk memilikinya.

Muncul sebagai tetamu program Rumpi No Secret yang dihoskan Feni Rose, Via berkongsi dirinya pernah menerima pinangan daripada seseorang.

"Baru-baru ini, ada lelaki datang ke rumah saya membawa keluarganya untuk meminang. Namun, saya tidak pernah mengenali dia.

"Situasi itu sangat mengejutkan. Malah, saya jadi takut kerana cuba dipinang orang tidak dikenali. Dia sanggup datang ke rumah saya bersama keluarga," katanya.

Menurut penyanyi lagu Sayang ini, dia bagaimanapun menganggap diri bertuah kerana berada di rumah pada ketika lelaki itu datang ditemani ibu bapanya.

ALAMI situasi mengejutkan apabila didatangi lelaki tidak dikenali bersama keluarga untuk meminangnya
ALAMI situasi mengejutkan apabila didatangi lelaki tidak dikenali bersama keluarga untuk meminangnya

"Mujur saya ada di rumah. Jika tidak, sukar untuk memikirkannya kerana saya sangat takut. Hingga kini, saya perlu masa untuk melupakannya.

"Apapun, saya belum terfikir lagi mahu berkahwin. Bercinta pun belum, takkan saya nak terus kahwin. Saya masih perlu masa untuk stabil dalam kerjaya ini," katanya.

Mengulas karakter dirinya, Via berkata dia seorang wanita yang susah jatuh cinta. Tambahnya, apa lagi jika lelaki berkenaan baharu dikenali.

"Soal untuk jatuh cinta, saya ada kesukaran. Ini kerana, saya seorang yang tidak mudah untuk percayakan orang. Mungkin, terlalu melindungi diri.

"Saya juga tidak mudah didekati. Jadi, biarlah saya bersahabat sahaja dahulu. Saya perlu masa untuk mengenali hati budi seseorang," katanya.

Berkongsi juga pandangan jika adiknya yang bernikah dan naik pelamin lebih awal, Via berkata dia tidak ada masalah untuk menerimanya.

"Saya okey saja jika adik yang bernikah dulu. Saya anggap itu jodohnya (adik) dan usah ditolak. Jika mereka dah sama-sama suka, terima dan uruskan.

"Jodoh adalah ketentuan Allah. Sebagai hamba-Nya, saya akur suratan takdir dengan reda dan lapang dada. Saya yakin pasti ada yang terbaik," katanya.

Menurut Via, dia lebih suka positif. Baginya, hidup solo kini memberi peluang untuk dia memberi fokus pada kerjaya seni diceburi sejak 2005 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 6:25 AM