AZZAM bersama dengan Sheryl. FOTO IG AZZAM SHAM
AZZAM bersama dengan Sheryl. FOTO IG AZZAM SHAM
Norhayati Nordin

PENYANYI lagu Biar Saja, Azzam Sham, 23, yakin dia tidak akan terkena tempias badi kegagalan yang pernah dialami kekasihnya, Sheryl Shazwanie, 23, di persaingan Big Stage tahun lalu.

Azzam yang berjaya mendapat tempat teratas pada minggu pertama Big Stage 2020, semalam berkata apa yang berlaku pada Sheryl adalah wanita kesayangannya itu tiada rezeki untuk bersaing lebih lama.

"Saya tidak lihat kegagalan dialami Sheryl pada tahun lalu sebagai badi yang mungkin akan terkena pada saya nanti. Bagi saya, Sheryl tiada rezeki dan dia tersingkir awal.

"Apapun, saya bersyukur Sheryl sentiasa ada bersama memberi sokongan. Malah, yang pasti saya akan membuat terbaik dalam persaingan Big Stage 2020 ini demi kerjaya dan sokongan peminat," katanya kepada Harian Metro.

Azzam atau nama sebenar Muhammad Azzammuddin Lop Hisham berkata kini yang menjadi cabarannya adalah kemampuan diri sendiri untuk tampil dengan persembahan mantap setiap minggu.

"Saya sebenarnya, tak sangka juga persembahan untuk lagu Salam Sejahtera yang dinyanyikan itu berjaya mendapat komen positif daripada semua juri profesional.

"Apa yang pasti, saya akan terus berusaha membuat terbaik kerana mendapat sokongan padu rakan-rakan dan peminat. Ia berikutan, peminat rindukan saya yang sudah lama tak muncul di TV," katanya.

Menganggap cabaran digalasnya untuk minggu kedua agak besar, Azzam berkata dia akan pastikan memberi persembahan mengikut idea konsep yang kreatif untuk menghiburkan penonton.

Terdahulu, awal Mac lalu Azzam dan Sheryl bersikap terbuka dengan membuat pengakuan mereka bercinta. Malah, hubungan itu bermula daripada teman rapat yang sudah kenal lama.

Malah, sama ada Azzam mahupun Sheryl ternyata kedua-duanya memilih untuk bersikap jujur dengan peminat mengenai hubungan percintaan dijalin kerana mereka saling menyokong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 8:57 PM