ARA Johari
ARA Johari
Norhayati Nordin


"Saya bukan kaki minum. Sumpah!. Malah, ia tak ada kaitan langsung hingga jadi sebab mengalami penyakit asma yang teruk baru-baru ini," kata penyanyi Ara Johari.

Ara, 23, tampil menyangkal dakwaan dia dikata suka mengambil minuman keras, termasuk barang terlarang kerana terlalu kurus.

"Saya berani bersumpah tidak pernah sentuh apa-apa sahaja minuman berasaskan alkohol serta mengambil barang terlarang seperti dadah.

""Saya terkilan dengan dakwaan tidak berasas ini. Tapi, mulut orang mana boleh tutup. Saya sumpah tak pernah ambil pun," katanya.

Menurut penyanyi lagu Paku ini, dia sudah tahu lama mengenai dakwaan dirinya dikait seorang kaki minum, namun tidak ambil peduli kerana tahu perkara itu tidak benar.

Pun begitu, dakwaan berkenaan jadi hangat apabila Ara atau nama sebenar Nurfarrah Izzatie Johari menarik diri saat akhir untuk menyertai rakaman program Immortal Songs.

Penarikan diri itu dibuat Ara dengan alasan dia mengalami masalah kesihatan iaitu asma yang teruk dan sukar bernafas.

Mengulas juga dakwaan negatif itu mungkin berpunca daripada pergaulan sosial dirinya dengan rakan yang suka ke kelab malam, Ara tidak menafikannya.

"Saya tiada masalah berkawan dengan sesiapa pun. Saya kawan dengan semua orang dan mengaku ada di antaranya suka bersosial dan kaki minum.

"Tapi, mereka tak pengaruh saya karana untuk diri sendiri, kita yang tentukan. Saya yang membentuk diri nak bagaimana," katanya.

Apapun, Ara berkata dia bersyukur ibu bapanya tahu perkara sebenar. Ujarnya lagi, cukuplah keluarga dan orang sekeliling yang tahu dia tak pernah ambil minuman alkohol dan barang terlarang yang boleh merosakkan diri.

Terdahulu, Ara hadir pada majlis pelancaran kempen 'Malaysiaku, Kita Selamat Bersama' bersempena sambutqn bulan kemerdekaan negara, 31 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 8:29 AM