Sandra Dianne masih di Hospital Putrajaya. FOTO NSTP
Sandra Dianne masih di Hospital Putrajaya. FOTO NSTP
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Ibu penyanyi Sandra Dianne, Nor Syakinah memohon agar foto keadaan anaknya berada di unit rawatan rapi (ICU) tidak lagi disebarkan untuk tujuan publisiti.

Menurutnya, dia cuma memohon doa orang ramai supaya penyanyi lagu Hey Kau yang masih koma di ICU Hospital Putrajaya akibat kemalangan dialami pada Sabtu lalu, diberikan kekuatan untuk mengharungi dugaan itu.

"Bantu saya untuk tidak menyebar luaskan lagi gambar-gambar yang tersebar sejak kelmarin. Ia tidak mendapat kebenaran daripada saya dan juga ahli keluarga terdekat.

"Saya pasti anak saya Sandra Dianne juga tidak menyukai perkara ini. Saya sebagai ibu kandung bersuara bagi pihaknya agar perkara ini ditangani dengan segera.

"Saya akan hubungi pihak pengurusannya untuk bantu saya memastikan gambar terbabit dipadam bersama pautan-pautannya sekali daripada sumber yang memuat naiknya pertama kali," katanya.

Nor Syakinah turut memohon maaf apabila tidak dapat membalas pertanyaan bertalu-talu diterimanya disebabkan emosi sangat terganggu pada ketika ini.

"Sejak beberapa hari ini keadaan emosi saya sangat tidak mengizinkan. Beberapa hari ini, saya kurang tidur dan tak dapat nak paksa diri sendiri makan. Fikiran saya juga kosong dan tak dapat fokus.

"Andai ada sahabat handai dan saudara mara yang tertanya-tanya apa yang berlaku, maafkan saya sebab tak semua orang saya khabarkan serentak. 

"Tapi ingin saya beritahu saya sangat menghargai perhatian dan kasih sayang daripada kalian semua, dan yang saya perlukan saat in hanya doa berterusan," katanya.

Sementara itu, wakil pihak pengurusan Sony Music Malaysia mengatakan keadaan terbaru Sandra masih sama. Penyanyi itu koma dan kritikal.

Kelmarin, peserta program realiti Big Stage 3 itu terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite). Sewaktu kejadian, Sandra dan sepupunya dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk latihan penuh konsert Big Stage.

/

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 8:56 PM