IKA seronok dapat lakonkan watak Linda dalam filem Takut Ke Tak.
IKA seronok dapat lakonkan watak Linda dalam filem Takut Ke Tak.
Norhayati Nordin


MESKIPUN sudah lebih sedekad menempa nama dalam kerjaya seni, pelakon Ika Nabella, 31, masih sedia menghadiri sesi uji bakat lakonan diadakan.

Ujar ibu seorang anak ini, menjadi tanggungjawabnya sebagai pelakon untuk sentiasa bersedia mengikuti sesi uji bakat diadakan pihak produksi.

Ika ditemui baru-baru ini, ketika pratonton filem Takut Ke Tak lakonannya berkata, uji bakat itu penting untuk dihadiri terutama membabitkan pengarah baharu.

"Saya memang tiada masalah pun untuk hadir mengikuti sesi uji bakat untuk tawaran lakonan. Apatah lagi, jika ia membabitkan berlakon filem.

"Bagi saya, mengikuti uji bakat diadakan sangat penting. Tak kiralah, sudah berapa lama sebenarnya saya aktif berlakon dalam industri hiburan ini," katanya.

Menurut Ika, dia juga selesa mendapatkan sesuatu tawaran berlakon itu selepas mengikuti uji bakat dibuat kerana sekurang-kurangnya sudah berusaha.

"Saya kalau nak dapatkan peluang berlakon filem, memang akan hadir pada uji bakat diadakan. Ini kerana, saya bukan pelakon yang ditawarkan sendiri oleh pengarah.

"Apatah lagi, sesi uji bakat lakonan ini agak mencabar. Kita kena sedia beraksi memainkan pelbagai emosi dalam situasi diminta oleh pengarah.

"Secara tak langsung, ia sebenarnya mencabar kreativiti seseorang pelakon. Dalam soal ini, kita perlu peka dan bijak memahami situasi," katanya.

Pertama kali bekerja dengan pengarah Muzzamer Rahman, pemilik nama sebenar Ika Nabila Abdul Rahim ini berkata, dia suka berbincang dan berkongsi pendapat.

"Muzzamer, badi saya seorang pengarah yang bagus dan berpotensi untuk menggilap bakat pengarahan dimilikinya. Cuma, kena lebih timba pengalaman lagi.

"Apapun, bekerja dengan Muzzamer dan pasukan produksi filem Takut Ke Tak ini agak mudah untuk membentuk keserasian sesama pelakon.

"Memang tak sangka, di antara saya dengan pelakon lain yang kebanyakan masih baharu cepat mesra, serasi dan kami saling membantu," katanya.

Berbicara watak lakonannya, Ika berkata, dia mendapat karakter Linda. Ujarnya, dia juga melakonkan watak pelajar yang berusia 20-an.

"Bayangkan usia sebenar saya pun sudah memasuki 30-an dan kena jadi muda 10 tahun, tentulah seronok. Apapun, ketika membaca skrip filem Tau Ke Tak, saya dapati jalan ceritanya menarik.

"Ditambah, watak Linda itu satu cabaran buat saya kerana berpeluang menunjukkan aksi komedi. Ia perkara baharu dan saya perlu membuktikannya.

"Alhamdulillah, saya seronok dapat melakonkan watak Linda itu dan berterima kasih kerana rakan pelakon lain sangat membantu beri kerjasama," katanya.

Ika yang sudah banyak membintangi drama berkata, kali terakhir dia beraksi di layar perak menerusi filem Tanda Putera sekitar tujuh tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 6:42 AM