ANGELINA Jolie
ANGELINA Jolie
Agensi

PELAKON popular Angelina Jolie terus dikenali dengan kerja-kerja amalnya membantu semua golongan masyarakat.

Terbaru, Jolie membuat sumbangan 'luar biasa bagus' kepada anak-anak Yaman menerusi dua kanak-kanak dari London yang melancarkan kempen untuk konflik yang berlaku di negara Semenanjung Arab itu.

Jolie dikatakan mengirimkan wang dengan jumlah amat besar kepada dua kanak-kanak dikenali sebagai Ayaan Moosa dan Mikaeel Ishaaq itu.

Kedua-duanya adalah sahabat baik yang menjual air lemon bagi mencari dana untuk kanak-kanak di Yaman. Menurut People, Jolie mendapat tahu usaha dua kanak-kanak ini dan memberikan sumbangan kepada institusi yang mereka bentuk.

Selain itu, bekas isteri pelakon Brad Pitt itu juga mengirimkan surat kepada mereka bertujuan mengucapkan terima kasih dan memuji usaha yang dilakukan.

"Saya minta maaf tak mampu membeli air lemon anda, tetapi saya mahu turut sama menyumbang," katanya. Satu sumber memberitahu People, sebaik mengetahui usaha ini, Jolie secara langsung menghubungi keluarga kanak-kanak ini menerusi pejabatnya.

Dia berbuat demikian kerana terkesan dengan situasi di Yaman yang mengalami krisis kemanusiaan. Kanak-kanak terbabit mengambil inisiatif menjual air lemon ini pada harga USD3.

Idea itu muncul selepas mereka melihat video mengenai situasi di Yaman yang ditunjukkan ibu bapa mereka. "Mereka tidak memiliki apa pun untuk bertahan dan terus hidup. Mereka tidak memiliki air, makanan dan minyak. Kami pula memiliki semua ini dan itulah sebab mengapa kami ingin membantu mereka," kata Moosa kepada NBC.

Difahamkan, Jolie juga merancang untuk bertemu dua kanak-kanak ini di London.

Keluarga mereka juga tidak menyebut secara pasti jumlah sumbangan yang diberikan oleh Jolie. Bagaimanapun jumlah yang mereka kumpul kini meningkat kepada USD76,000.

Wang ini akan disalurkan menerusi Badan kemanusiaan One Nation London bagi menyediakan kemudahan air, makanan dan perubatan untuk penduduk Yaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 12:49 PM