RICHAEL LAWRENCE GIMBANG
RICHAEL LAWRENCE GIMBANG
Georgie Joseph


SELEPAS lebih dua tahun terbabit dalam aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), bekas bintang Akademia Fantasia, Rich, 38, merasakan sudah tiba masanya untuk dia menceburi bidang politik.

Rich atau nama sebenarnya Richael Lawrence Gimbang berkata, projek pembinaan pusat komuniti di Kampung Dalungan, Tambunan, Sabah yang diusahakannya adalah antara inisiatif awalnya untuk melangkah ke dunia politik mengikut jejak bapanya, Datuk Lawrence Gimbang.

Tindakannya memuat naik poster dia mahu bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tambunan, baru-baru ini turut membuatkan ramai menyangka dia akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Apabila saya berkongsi poster mengenai saya mahu bertanding sebagai wakil rakyat baru-baru ini, ramai ingat ia untuk PRN kali ini. Namun, sebenarnya saya belum bertanding cuma memang sudah mulakan usaha ke arah itu.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu tampil sebagai wakil rakyat yang cuma bercakap kosong. Disebabkan itu, saya memulakan projek pembinaan pusat komuniti di kampung sendiri sebagai bukti saya ikhlas menjadi wakil rakyat. Pusat komuniti ini bakal digunakan untuk pelbagai manfaat membantu masyarakat baik daripada pendidikan mahupun pemerkasaan belia," katanya.

Rick yang juga penyanyi kumpulan Estranged berkata, hatinya terdetik untuk memutuskan mahu bertanding sebagai wakil rakyat selepas tersentuh dengan kesukaran dihadapi penduduk di kawasan pedalaman.

"Beberapa tahun lalu, kerja-kerja CSR yang kami mulakan di Ranau begitu menyentuh hati saya. Masih banyak tempat yang tiada kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air. Jadi, ia perlukan perubahan.

"Berbekalkan pengalaman serta kaedah yang kami sudah ada sekarang, saya mahu teruskan inisiatif itu dalam jangka masa panjang pula. Jadi, kenapa tidak saya sendiri tawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat bagi membangunkan kampung dan masyarakat sendiri?

"Kalau kalah bertanding pun saya tak rugi. Usaha begini akan tetap saya teruskan dengan bantuan ramai pihak termasuk rakan Estranged sendiri. Daripada usaha murni menyumbang kepada masyarakat, mereka sendiri akan menyedari kredibiliti saya," katanya.

Suami kepada penyanyi Velvet Aduk itu juga bersyukur niatnya mendapat sokongan padu bapanya, Lawrence yang cukup terkenal dalam arena politik di Tambunan.

"Dia tidak pernah pun memaksa atau mempengaruhi saya untuk ceburi politik. Sebaliknya, keputusan ini memang datang daripada niat saya sendiri di mana saya benar-benar mahu membawa perubahan dan membangunkan komuniti setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 4:59 PM