AZMI Saat bersama komposer, Fauzi Marzuki. FOTO ihsan TV3
AZMI Saat bersama komposer, Fauzi Marzuki. FOTO ihsan TV3
Sudirman Mohd Tahir


PERSEMBAHAN penyanyi, Azmi Saat menerusi lagu Penghujung Rindu pada program Immortal Songs yang ditayangkan di TV3, Ahad lalu berjaya mencatat lebih 4 juta tontonan berdasarkan data yang dikeluarkan Nielsen Malaysia.

Malah, pada episod lagenda Fauzi Marzuki itu, Azmi turut mendapat 712 markah daripada markah keseluruhan 800 sekali gus menewaskan lima penyanyi lain iaitu Luqman Faiz, Kugiran Masdo, Amir Masdi, Fieya Julia dan Tajul Ariff.

Azmi yang juga vokalis kumpulan Caliph Buskers berkata, dia tidak menjangka gubahan semula yang diberikan pada lagu asal dendangan Datuk Jamal Abdillah itu menambat hati juri awam dan penonton di rumah.

"Saya tidak menyangka juri awam gemarkan persembahan saya pada malam itu, kerana saya berasa ada rakan lain yang membuat persembahan lebih hebat dari saya.

"Apatah lagi persiapan saya juga tidak lama, kerana itu saya hanya membuat persembahan dengan props yang ringkas. Walau bagaimanapun, saya bersyukur atas rezeki ini," katanya.

Program realiti terbaharu TV3 itu bersiaran selama tujuh episod bermula 30 Ogos lalu, setiap Ahad, jam 9 malam.

Program itu membariskan enam penyanyi tempatan dan seorang karyawan muzik lagenda pada setiap episod. Keenam-enam penyanyi itu dikehendaki mempersembahkan sebuah lagu pilihan mereka (daripada lagu karyawan lagenda episod itu) dengan gubahan lagu berbeza mengikut kreativiti masing-masing.

Pada penghujung setiap persembahan, lapan juri akan menilai persembahan yang diadili secara 100 peratus. Pemegang rekod tertinggi pada episod itu akan dinobatkan sebagai Susunan Lagu Terbaik.

Penonton di rumah juga berpeluang untuk mengundi persembahan pilihan mereka melalui laman www.xtra.com.my/immortalsongs pada bila-bila masa bermula 10.30 malam sehingga hari Sabtu, minggu berikutnya.

Penaja utama, Farm Fresh akan menghadiahkan enam bulan bekalan susu Farm Fresh kepada badan kebajikan pilihan pemenang artis pilihan penonton.

Pada hari Ahad ini, Immortal Songs akan menampilkan selebriti lagenda, Datuk M. Nasir bersama enam penyanyi, Shiha Zikir, Yonny Boii, Zizi Kirana, Stacy Anam, Haikal Farid dan Sufian Suhaimi yang akan memberi nafas baharu kepada lagu pilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 11:58 AM