ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB
Sudirman Mohd Tahir

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) membabitkan persembahan konsert.

Ismail berkata, ketika ini kerajaan sudah membenarkan konsert terbuka dibuat dengan SOP yang ditetapkan.

"Setakat sekarang, kita memang sudah benarkan konsert terbuka, tetapi penganjur perlu mematuhi SOP agak ketat terutama daripada segi jumlah penonton dan sebagainya.

"Malah, sehingga kini, kami tidak menerima permohonan daripada kementerian berkaitan yang meminta SOP dilonggarkan atau menerima aduan daripada mana-mana pihak mengenai masalah itu.

"Bagaimanapun, jika ada aduan dilaporkan atau permohonan dibuat supaya SOP sedia ada dilonggarkan, kami akan melihatnya," katanya ketika ditemui pada majlis santai petang bersama penggiat seni tanah air sempena kempen Tabung Pahlawan 2020 di sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Walaupun penganjuran konsert terbuka dibenarkan sejak Julai lalu, ia masih belum mampu menyakinkan penganjur. Selain ia dihadkan kepada 250 penonton atau bergantung kepada kapasiti premis acara dengan mengutamakan penjarakan sosial.

Sejak penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, aktiviti seni termasuk konsert terpaksa ditangguhkan.

Antara konsert yang sudah dirancang awal dan menangguhkannya ke tahun depan adalah Konsert Malai Solo Noraniza Idris, Konsert MPO and Aishah : A Musical Journey dan Konsert 40 Tahun Persada Seni Datuk Jamal Abdillah

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 12:58 PM