Sei Ashina.
Sei Ashina.
Agensi

 

Tokyo: Pelakon yang pernah membintangi siri Kamen Rider Hibiki, Sei Ashina, 36, dilaporkan meninggal dipercayai akibat bunuh diri, semalam.

Menerusi laporan portal hiburan antarabangsa, mayat Ashina ditemui oleh abangnya di rumah pelakon itu yang terletak di Tokyo, Jepun selepas dia tidak menjawab panggilan telefon sejak Ahad lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang nota ditemui di rumah Ashina sekali gus, motif mengenai punca bunuh diri pelakon itu masih lagi menjadi tanda tanya.

Dalam siri TV popular itu, Ashina memegang karakter sebagai You Hime selama setahun bermula pada 2005.

Ashina dilahirkan di Fukushima dan memulakan karier seni sebagai model dan seterusnya terbabit dalam lakonan menerusi drama The Tail of Happiness pada 2002.

Pada zaman kegemilangan, Ashina pernah mengalahkan 800 pelakon lain untuk memegang karakter utama dalam drama sejarah berjudul Silk yang menjadi karya kerjasama tiga negara iaitu Jepun, Kanada dan Itali pada 2007.

Selain itu, dia juga pernah membintangi beberapa filem antaranya Kamui Gaiden pada 2009.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 5:03 PM