EJEN Ali perkenalkan rangkaian produk terbaharu menerusi kempen #KitaJagaKita.
EJEN Ali perkenalkan rangkaian produk terbaharu menerusi kempen #KitaJagaKita.
Sudirman Mohd Tahir


BERSEMPENA sambutan Hari Malaysia, Primeworks Studios dan WAU Animation melancarkan kempen #KitaJagaKita buat peminat filem animasi nombor satu di Malaysia, Ejen Ali.

Kempen #KitaJagaKita ini dilihat mempunyai signifikan tersendiri apabila menjadi kempen Ejen Ali pertama dianjurkan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar mengakui bangga dengan slogan #KitaJagaKita yang juga petikan lagu tema filem itu sehingga ia menjadi sebutan ramai.

"Kami bangga kerana slogan #KitaJagaKita kini dikenali dan menjadi sebutan ramai. Kita Jaga Kita ini sebenarnya adalah petikan lagu tema dalam filem Ejen Ali The Movie yang dinyanyikan oleh Altimet dan Malik Abdullah yang mana lagu ini adalah pembakar semangat juang Ejen Ali dan rakan-rakan ejennya.

"Kami gembira apabila slogan Kita Jaga Kita menjadi ikutan ramai dan berasakan mesej ini sesuai dengan usaha untuk mendukung ekonomi negara yang terkesan akibat Covid-19 dengan menyeru rakyat Malaysia untuk menyokong produk keluaran nasional," katanya.

Antara promosi utama untuk kempen #KitaJagaKita adalah pelancaran video muzik versi terbaharu Kita Jaga Kita yang dinyanyikan Altimet, Cuurley dan Malik Abdullah dan ditayangkan di saluran YouTube rasmi Ejen Ali.

Menariknya mengenai video muzik ini apabila menampilkan Altimet ke watak animasi dan digabungkan dengan babak dan watak sedia ada dalam filem Ejen Ali The Movie.

AHMAD Izham
AHMAD Izham

Altimet turut meminjamkan suaranya untuk watak Andik dalam filem animasi nombor satu Malaysia 2019.

Sejak ia mula dimuat naik pada 31 Ogos lalu bersempena hari kemerdekaan, video muzik runut bunyi Kita Jaga Kita turut disiarkan di kaca TV dan platform media sosial lain dan meraih jumlah tontonan satu juta penonton di laman YouTube sehingga hari ini.

Bagi merealisasikan kempen #KitaJagaKita itu, Ejen Ali memperkenalkan rangkaian produk terbaharu yang bersesuaian dengan keadaan sekarang yang mana kebanyakan keluarga lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

Rangkaian produk yang diperkenalkan berupa set papan permainan Ejen Ali Misi: Bootcamp yang terdiri daripada set tiga papan permainan iaitu Squad Race, Ejen VS Droids' dan Gadget Assembly.

Turut dihasilkan adalah set kad permainan (trading card) Ejen Ali Misi: Alliance yang mana kad ini boleh dikumpulkan untuk membina pelantar sendiri dan berlawan antara satu sama lain.

Selain itu, komik terbaharu Ejen Ali: Side Mission edisi terhad, mengenai pengembaraan Ejen Ali dan rakan-rakan ejennya di luar siri TV dan filem juga bakal dikeluarkan.

Semua barangan produk eksklusif ini boleh didapati di platform dalam talian terpilih, kedai buku utama dan kedai serbaneka berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 6:15 AM