BERHARAP akan terus diberi peluang tonjolkan bakat.
BERHARAP akan terus diberi peluang tonjolkan bakat.
Sudirman Mohd Tahir


SELEPAS enam tahun terbabit dalam bidang lakonan, pelakon Nafiez Zaidi, 28, mengakui masih banyak yang perlu dicapai.

Enggan terlalu selesa dengan apa dimiliki, Nafiez berharap dirinya akan terus diberi peluang untuk menonjolkan bakat.

"Alhamdulillah, ada lima drama yang saya menjadi watak utama. Harapnya selepas ini diberi peluang lagi untuk ketengahkan bakat. Tapi, sama ada pembantu atau utama, saya fokus pada rezeki untuk tampung balik pendapatan.

"Rasa nak bersaing dengan orang lain memang ada, tapi saya percaya pada rezeki. Saya lebih suka untuk mencari kelainan dalam diri dan bandingkan dengan orang lain. Malah, saya pun ada idola sebagai rujukan dalam lakonan," katanya.

Dalam usaha untuk menempatkan diri sebaris dengan pelakon popular lain, Nafiez yang pernah berlakon dalam drama Andainya Takdir, Petua Nenek, Voice Note dan banyak lagi mengakui dia tidak memerlukan publisiti murahan seperti kontroversi yang boleh mengaibkan diri.

"Kalau nak buat perkara tular dan bukan-bukan, saya tak nak. Tak terniat nak ke arah itu sebab saya tak pandai. Saya hanya berserah dan ikut aturan selain tak terfikir lagi nak buat perkara yang memalukan diri sendiri.

TAK terfikir buat perkara yang memalukan diri sendiri.
TAK terfikir buat perkara yang memalukan diri sendiri.

"Tapi kadang-kadang tercetus nak buat supaya tular, tapi saya belum bersedia untuk dikecam. Sengaja atau tak sengaja nak buat perkara itu, memang takkan. Tak nak. Kalau terfikir nak buat pun, bukan yang bersifat keterlaluan atau mengaibkan maruah," katanya.

Malah, Nafiez yang juga pelakon filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda dengan penuh yakin mengakui dirinya 'clean' daripada memiliki gambar atau video tidak senonoh sehingga mampu membuka ruang pihak tidak bertanggungjawab mengenakan dirinya seperti kebanyakan selebriti lelaki lain yang menjadi mangsa.

"Insya-Allah, tak ada apa-apa. Saya jamin bersih dari semua itu. Pandai buat, pandai simpan. Itu aib masing-masing. Takkan nak buka pula kan. Itu orang cakap, kalau buat benda tular, takkan nak aibkan diri sendiri kan. Tapi, kalau dah terbuka nak buat macam mana. Tapi, kalau boleh simpan sebaiknya.

ENGGAN beri ruang pihak tidak bertanggungjawab mengenakan dirinya.
ENGGAN beri ruang pihak tidak bertanggungjawab mengenakan dirinya.

"Kalau perkara ini berlaku ia mesti mengejutkan. Tapi, dengan yakinnya saya boleh cakap takkan berlaku. Kalau berlaku sekali pun, saya akan beristighfar dan tengok apa berlaku selepas itu," katanya.

Ditanya sama ada dia bersedia berdepan situasi sebegitu, Nafiez berkata, dirinya yakin boleh menguruskan perkara itu.

"Saya pun tak tahu nak cakap lebih sebab belum pernah melalui situasi sebegini. Tak ada pengalaman berlaku dan tak tahu nak hadap macam mana. Kalau jadi, saya yakin boleh uruskan. Tapi, kalau boleh tak nak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 6:30 AM