Azadan Abdul Aziz dimasukkan ke Hospital Selayang semalam akibat masalah darah tinggi dan jantung.
Azadan Abdul Aziz dimasukkan ke Hospital Selayang semalam akibat masalah darah tinggi dan jantung.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Azadan Abdul Aziz dimasukkan ke Hospital Selayang semalam akibat masalah darah tinggi dan jantung.

Anggota Rabbani, Asri Ubaidullah berkata, Azadan masih dalam keadaan lemah dan kini di bawah pemantauan doktor.

"Azadan beritahu kami dalam kumpulan aplikasi WhatsApp, dia asalnya berjumpa doktor sebuah klinik kerajaan untuk pemeriksaan mata.

"Bagaimanapun, apabila doktor membuat pemeriksaan mendapati tekanan darahnya naik mendadak sehingga 200. Dia kemudian dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Selayang dan terus dimasukkan ke wad kecemasan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, doktor membuat pemeriksaan rapi termasuk memeriksa saluran jantung dan mendapati saluran jantung Azadan turut tersumbat.

"Boleh dikatakan punca penyakitnya berkait-kait. Bagaimanapun dia beritahu bacaan darahnya sudah normal sejak malam tadi. Begitu juga bacaan gula. Anggota Rabbani pun belum berpeluang melawatnya kerana dia masih dalam wad kecemasan. Tambahan lagi sekarang prosedur operasi standard (SOP) nak melawat agak ketat.

"Kami pun sekadar berbual dengannya menerusi WhatsApp kerana tak mahu mengganggunya. Dia perlu banyak berehat," katanya.

Sementara itu, Azadan yang dihubungi menerusi WhatsApp berkata, dia masih lemah tetapi keadaannya kini stabil.

"Mungkin dalam dua atau tiga hari lagi baru saya dibenarkan keluar. Saya sebenarnya tak sangka akan jadi begini. Mungkin ia berlaku kerana kesibukan saya bekerja. Saya sebenarnya sentiasa jaga makan dan kesihatan, tapi perkara ini tak diduga dan sesiapa sahaja boleh kena.

"Mudah-mudahan ujian yang menimpa saya ini adalah satu kirafah penghapusan dosa, tanda Allah sayangkan saya. Allah bagi peringatan untuk kita sentiasa mengingatinya," katanya yang mengakui sering melakukan pemeriksaan kesihatan dan tidak mempunyai masalah ini.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan sahabat-sahabat yang mendoakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 4:53 PM