Pengarah drama yang hanya ingin dikenali sebagai C, bersyukur dirinya semakin pulih selepas menerima rawatan akibat terkena santau angin sejak empat bulan lalu.
Pengarah drama yang hanya ingin dikenali sebagai C, bersyukur dirinya semakin pulih selepas menerima rawatan akibat terkena santau angin sejak empat bulan lalu.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Pengarah drama yang hanya ingin dikenali sebagai C, bersyukur dirinya semakin pulih selepas menerima rawatan akibat terkena santau angin sejak empat bulan lalu.

C yang aktif mengarah drama termasuk sebuah siri yang akan disiarkan di satu stesen TV berkata, badannya semakin pulih, manakala kulit mukanya kembali normal selepas mendapatkan rawatan dengan pengamal perubatan Islam dan tradisional baru-baru ini.

"Saya memang tak sangka kena santau angin daripada pihak yang tak dikenali. Saya ingatkan tompok putih seperti terbakar di muka kerana kesan panau atau kerana salah guna ubat.

"Saya ambil keputusan berjumpa pakar dermatologi untuk dapatkan nasihat serta buat rawatan wajah tapi hasilnya tak berjaya juga.

"Doktor melihat ada sesuatu yang tak kena dan akhirnya mencadangkan saya berjumpa dengan pengamal perubatan Islam bagi merujuk lanjut masalah ini," katanya.

Ketika menjalani penggambaran di Kuantan, C mengambil kesempatan berjumpa ustazah dikenali sebagai kak Ina bagi mendapatkan rawatan dan terkejut dengan cerita yang didengarinya.

"Belum duduk untuk rawatan lagi, kak Ina dah beritahu saya kena sihir iaitu santau angin, membuatkan saya tergamam sekejap apabila mendengarnya.

"Kerja jahat ini dilakukan oleh bomoh dari negara seberang bertujuan merosakkan semua yang ada pada saya," katanya.

Selain kak Ina, C turut berjumpa seorang lagi pengamal perubatan Islam dikenali sebagai Abang Ijol di Johor dan dimaklumkan perkara yang sama.

"Saya dikejutkan pula dengan kata-kata abang Ijol yang gambar saya digantung di atas bara api agar saya rasa sesak nafas. Ini juga punca kenapa wajah saya seakan terbakar.

"Ada kemungkinan gambar saya jatuh ke dalam bara api dan buatkan wajah saya jadi seperti ini," katanya yang masih menjalani rawatan susulan.

Ditanya jika ada sesiapa yang disyaki melakukan perkara ini, C berkata, perkara ini sukar dipastikan kerana identiti individu itu gagal dilihat secara jelas oleh abang Ijol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 3:57 PM