SARALEANA ketika majlis bual bicara mengenai Telco-Media LIFE.
SARALEANA ketika majlis bual bicara mengenai Telco-Media LIFE.
Najiy Jefri


MENGAMBIL masa hampir empat tahun untuk membangunkan platform telekomunikasi yang dikenali sebagai LIFE, MBits Digital Sdn Bdn Bhd sanggup melabur jutaan ringgit bagi menyajikan pelanggannya dengan pelbagai kandungan menarik.

Menggunakan kepakaran teknologi dari negara China, LIFE tidak hanya digunakan untuk membuat panggilan telefon, melayari Internet, Facebook, Instagram dan Tik Tok, sebaliknya LIFE melangkau lebih jauh apabila bakal melancarkan satu aplikasi baharu bulan depan yang dikenali sebagai Play.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MBits Digital Sdn Bhd, Saraleana Nattaya Azmi, apabila dilancarkan kelak, pelanggan LIFE akan dapat menikmati akses menonton filem dan drama serta muzik yang diterbitkan sendiri oleh syarikatnya.

"Syarikat telekomunikasi sedia ada di negara kita hanya menyediakan data kepada pelanggannya. Jadi mereka hanya menggunakan akses yang ada untuk membuat panggilan telefon, menggunakan aplikasi WhatsApp dan melayari Facebook, Instagram dan TikTok saja. Sekiranya ingin menonton filem, mendengar muzik dan bermain permainan video, mereka perlu memuat naik aplikasi lain.

"Namun berbeza dengan LIFE dimana kami adalah sebuah syarikat kandungan telekomunikasi media. Kami memiliki platform penyiaran yang menggabungkan Video On Demand (VOD), Over The Top (OTT) dan televisyen teresterial. Kami juga akan menerbitkan rangkaian drama dan filem sendiri serta menyediakan platform muzik yang fokus dengan selera tempatan.

"Jadi pelanggan kami tahu ke mana mereka boleh memanfaatkan data yang banyak dengan kandungan yang bakal disediakan menerusi platform LIFE. Oleh itu, mereka tidak akan lagi mensia-siakan data yang ada, kami juga menawarkan data pada harga sangat berpatutan bermula daripada RM38 hingga RM68," katanya.

Sebelum Play dilancarkan sepenuhnya bulan depan, Saraleana berkata, buat sementara waktu pelanggannya boleh menonton drama Korea dan Asia menerusi aplikasi Owl yang menyediakan 1,000 jam tontonan yang boleh bertahan kira-kira enam bulan.

Selain menonton drama Korea dan Asia, pelanggan LIFE juga boleh bermain permainan video di mana MBits Digital menjalin usahasama dengan sebuah syarikat permainan video. Pelanggan juga boleh mengakses tempat makan menarik dan pelbagai lagi perkhidmatan yang akan ditawarkan oleh LIFE demi kemudahan pelanggannya.

Pada masa sama juga kata Saraleana, ia juga salah satu usaha membantu mempromosikan perniagaan tempatan.

Enggan mensia-siakan segala usaha dan wang ringgit yang dikorbankan, Saraleana mengakui cukup selektif dalam pemilihan kandungan yang bakal diterbitkan syarikatnya.

"Jika kita lihat kebanyakannya yang menonton Netflix adalah terdiri daripada remaja bandar dan kategori urban. Oleh itu, kami akan pastikan kandungan yang akan dihasilkan menerusi Play mampu memenuhi cita rasa pelanggan sasaran iaitu golongan remaja bandar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 6:44 AM