BERSAMA adik-beradiknya pada majlis pelancaran produk kosmetik maskara Hijab Mata Kekasih menerusi jenama Kekasih by The Melvins di Shah Alam Convention Centre.
BERSAMA adik-beradiknya pada majlis pelancaran produk kosmetik maskara Hijab Mata Kekasih menerusi jenama Kekasih by The Melvins di Shah Alam Convention Centre.
Najiy Jefri

SIAPA sangka pembabitan pelakon dan usahawan Syifa Melvin dalam bidang lakonan dan pengacaraan berlaku tanpa sengaja, namun minat ke arah itu mula bercambah sedikit demi sedikit.

Kata Syifa yang kini menguruskan perniagaan bersama adik-beradiknya iaitu Syatilla, Syifa dan Syafiqa, dia mengakui dirinya kini lebih memberikan fokus terhadap bidang perniagaan berbanding memberi tumpuan terhadap kerjaya seni.

Maka tidak hairan, kelibat Syifa dalam bidang lakonan mahupun pengacaraan tidak bergerak rancak seperti kakaknya, Syatilla Melvin.

"Saya terbabit dalam bidang seni tanpa disengajakan. Pada awalnya, saya bergelar selebriti media sosial dan pernah menjadi jurusolek selama dua tahun.

"Ketika itu, saya selalu teman Syatilla ke lokasi penggambaran jika ada masa terluang. Pada masa sama, saya juga sedang belajar.

"Alhamdulillah, saya mula mendapat rezeki dalam bidang seni menerusi beberapa tawaran lakonan pada waktu itu, cuma saya tidak boleh fokus dengan baik. Ramai yang tak tahu, ketika saya aktif mencantikkan wajah orang lain, saya bangun jam 5 atau 6 pagi untuk menyolek pengantin dan banyak lagi pahit manis yang saya lalui.

"Tiba-tiba, ada pula segelintir orang meletakkan label 'gold digger' kepada saya. Sejujurnya, telahan itu tidak wajar diberikan," katanya pada majlis pelancaran produk kosmetik maskara Hijab Mata Kekasih menerusi jenama Kekasih by The Melvins di Shah Alam Convention Centre.

Pada majlis berkenaan, The Melvins melancarkan 60 papan tanda iklan di seluruh negara bagi produk kecantikan terbabit.

MEMPERTIMBANGKAN tawaran lakonan jika ia bersesuaian.
MEMPERTIMBANGKAN tawaran lakonan jika ia bersesuaian.

Enggan namanya terus hilang dalam dunia seni, Syifa akan mempertimbangkan tawaran lakonan jika ia bersesuaian.

"Disebabkan kekangan masa dan perniagaan, saya perlu mendahulukan satu komitmen sahaja. Saya mahu fokus kepada satu perkara sahaja.

"Saya risau kalau buat semua perkara nanti, ia tidak akan ke mana. Buat masa sekarang, saya lebih selesa dikenali sebagai ahli perniagaan dan teruja dengan apa yang diusahakan buat masa ini.

"Bagaimanapun, jika ada skrip bersesuaian dan kena pada masanya, Insya-Allah saya akan pertimbangkan dan kembali ke set penggambaran. Cuma keutamaan kini lebih kepada perniagaan," katanya.

Menyentuh mengenai kejayaan perniagaan kosmetik miliknya, Syifa bersyukur apabila dia kini sudah bergelar status jutawan bersama adik-beradiknya.

"Alhamdulillah satu perjalanan yang cukup manis buat kami adik-beradik. Saya bersyukur atas segala limpahan rezeki dan kejayaan yang Tuhan berikan kepada kami.

"Memang sudah menjadi impian kami untuk membantu rakyat Malaysia khususnya ibu tunggal, suri rumah dan pelajar untuk menambah pendapatan bersama perniagaan kami.

"Tak sangka, apa yang kami niat selama ini dimakbulkan Tuhan dan hari ini Kekasih by The Melvins menerima maklum balas yang sangat memberangsangkan dan mencetuskan fenomena luar biasa. Kami nak ubah nasib lebih ramai lagi rakyat di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 6:45 AM