Safiey Ilias  sudah menjelaskan kesemua denda RM23,000. 
Safiey Ilias sudah menjelaskan kesemua denda RM23,000. 
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Usahawan kosmetik dan selebriti, Safiey Ilias mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menjual produk tidak berdaftar mengikut Peraturan 7 (1)(a) iaitu Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mahkamah memerintahkan Safiey, 26, atau nama sebenarnya Mohd Saifuddin Ilias membayar denda RM5,000 bagi pertuduhan pertama dan RM18,000 bagi pertuduhan kedua.

Safiey yang juga penyanyi lagu Syinta Gila berkata, dia berharap kes itu menjadi pengajaran buat semua pihak.

"Saya mengaku bersalah dan alhamdulillah kes sudah selesai. Saya juga sudah menjelaskan kesemua denda RM23,000 tadi. 

"Apa yang boleh diperkatakan, saya harap perkara ini menjadi pengajaran bukan saja diri sendiri tapi orang lain juga.

"Saya tidak mahu memanjangkan lagi perkara ini demi menghormati undang-undang," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai dakwaan dirinya disabotaj pihak tertentu, Safiey enggan mengulas lanjut.

"Macam dikatakan, saya tidak mahu memanjangkan isu ini. Saya mahu ia selesai cepat dan sebab itu saya mengaku bersalah.

"Terima kasih atas doa dan sokongan yang berterusan diberikan kepada saya," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan waran tangkap sudah dikeluarkan ke atas Safiey ekoran dia dua kali gagal hadir pada prosiding yang dijalankan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 11:56 AM