SP Balasubrahmanyam.
SP Balasubrahmanyam.
Agensi

Chennai: Penyanyi legenda India, SP Balasubrahmanyam (SPB) meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Chennai, India, hari ini, selepas dijangkiti Covid-19. 

Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun selepas dimasukkan ke hospital itu sejak dua bulan lalu.

Menerusi satu laporan, SPB diminta dikuarantin di rumah berikutan simptom dialami tidak serius, namun mendiang memilih untuk menjalani rawatan di hospital selepas dinasihati keluarga.

Bapa dua anak itu dilaporkan menggunakan alat bantuan pernafasan sejak 14 ogos lalu berikutan keadaan kesihatannya semakin merosot. 

Sepanjang menjalani rawatan di hospital keadaan kesihatan SPB  dilaporkan semakin baik dan mengharapkan dirinya segera sembuh. 

Sebelum ini, SPB turut didapati negatif Covid-19 pada 13 September lalu, namun dia kembali menggunakan alat bantuan pernafasan.

Anak mendiang, SP Charan berkata, bapanya akan terus 'hidup' selagi peminat masih mengingatinya.

"Ayah menghembuskan nafas terakhir pada 1.04 petang. Terima kasih semua atas doa. Ayah saya akan terus hidup dalam ingatan peminat," katanya.

SPB dikenali sebagai seniman berbakat besar. Tidak hanya menyanyi, SPB dikenali sebagai pelakon, pengarah muzik dan penerbit filem dalam pelbagai bahasa.

Sepanjang karier lima dekad, SPB pernah meminjamkan suara kepada kira-kira 40,000 buah lagu runut bunyi filem India.

Mendiang adalah penyanyi yang kerap menjadi pilihan komposer pemenang Oscar, BAFTA, Grammy dan Golden Globe iaitu A.R. Rahman.

SPB juga pernah meminjamkan suaranya untuk menyanyikan runut bunyi filem lakonan Salman Khan antaranya Maine Pyar Kia dan Hum Aapke Hain Koun.

Antara lagu hit nyanyian mendiang ialah Dil Deewana, Mere Rang Mein Rangnewali, Didi Tera Dewar Deewana dan Pehla Pehla Pyar.

Balasubrahmanyam atau nama sebenarnya Sripathi Panditaradhyula Balasubrahmanyam dilahirkan di Nellore pada tahun 1946.

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 9:24 PM