SHIHA Zikir.
SHIHA Zikir.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Penurunan jumlah tontonan single terbaharu penyanyi Shiha Zikir berjudul AEWO di laman YouTube mengundang persoalan ramai termasuk pihak pengurusan penyanyi itu, Todak Fusion Sdn Bhd. 

Ketua Pegawai Eksekutif Todak Fusion, Ikmal Fareeq, berkata, permasalahan itu sudah disuarakan kepada pihak YouTube dan masih menunggu jawapan maklum balas.

"Penonton 'ghaib' atau penurunan jumlah tontonan ini sukar untuk kami fahami. Jika ia sudah ditonton, bagaimana penurunan boleh berlaku? Adakah ini perkara normal atau ada sesuatu yang tidak kena? 

"Tambah musykil, turun naik jumlah tontonan muzik video AEWO ini berlaku secara kerap. Setiap kali mencecah 300,000 tontonan sahaja, pasti berlaku penurunan yang banyak pada minggu yang sama.

"Rekod paling rendah adalah 170,000 penonton. Jika hal ini tidak berlaku kemungkinan besar muzik video AEWO sudah mencecah 1 juta penonton sekarang.

"Bagi mendapatkan penjelasan, permasalahan ini telah kami suarakan kepada pihak YouTube dan masih menunggu jawapan maklum balas mereka," katanya.

Sejak dilancarkan pada 5 Ogos lalu, AEWO bukan sahaja menjadi bualan hangat di kalangan netizen sehingga tular, bahkan mendapat lebih 100,000 tontonan dalam tempoh kurang 24 jam. 

Gelombang penonton juga terus meningkat saban hari, bagaimanapun selepas seminggu ia ditayangkan, penonton AEWO 'ghaib' apabila jumlahnya merudum sehingga 170,000, berbanding catatan tertinggi 381,095 pada hari kelima dilancarkan. 

Menurut Ikmal, proses menghasilkan muzik video AEWO menuntut perancangan yang teliti, membabitkan kreativiti secara berpasukan dan usaha yang bukan sedikit. 

"TODAK Music, Shiha Zikir selaku penyanyi, penari latar dan seluruh tenaga produksi yang terbabit bertungkus-lumus dalam mengeluarkan idea bagi menghasilkan sebuah muzik video bertaraf antarabangsa. 

"Kami ingin membuktikan bahawa industri kreatif di Malaysia tidak pernah ketinggalan, kita juga mampu mencipta karya setanding K-Pop yang mendominasi pasaran muzik global ketika ini. 

"Oleh kerana usaha optimum yang dicurahkan inilah, kami berharap pihak YouTube dapat memberi penjelasan mengenai permasalahan yang berlaku, dengan harapan penonton AEWO dapat dikembalikan," katanya. 

Sementara itu, artis serba boleh Shiha Zikir turut meluahkan rasa kecewa dan terkejut berhubung perkara ini yang dikongsi melalui akaun Instagram miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 9:34 PM