MAHU jalin hubungan lebih serius, enggan teruskan tanpa ikatan.
MAHU jalin hubungan lebih serius, enggan teruskan tanpa ikatan.
Norhayati Nordin


Penyanyi Rizky Febian dan kisah cinta bukanlah rahsia. Apatah lagi, anak pelawak Sule ini sangat selesa bersikap terbuka.

Bahkan, dalam temu bual bersama Nagita Slavina baru-baru ini, Rizky atau mesra disapa Iky, 22, ditanya berkaitan jodohnya.

Rizky yang kini sering bekerjasama dengan Anya Geraldine dipersoalkan jika memang ada jodoh dengan selebriti wanita popular itu.

Menurutnya, dia sedia terima jodoh dengan Anya. Menurut Rizky, dia sudah tidak mahu menjalin hubungan cinta yang lama.

"Kalau ada jodoh, bernikah terus saya terima saja. Apa yang pasti saya tak mahu lagi bercinta semata-mata tanpa ikatan sah.

"Saya kini mahu lebih serius dalam menjalin ikatan perhubungan. Biar terus bercinta selepas bernikah, itu lebih baik.

"Siapa pun orangnya, saya hanya mencari calon isteri. Saya tidak mahu sekadar bercinta semata-mata dan akhirnya berpisah," katanya.

Ujar Rizky, dia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab membina keluarga. Cuma, soal siapa jodohnya ketentuan Yang Esa.

Bagaimanapun, sebelum ini Rizky dikatakan pernah membuat pengakuan betapa dia begitu mengagumi Anya yang baginya cukup hebat.

Memiliki pakej lengkap, jelita dan berbakat semestinya Anya juga seorang yang komited dalam kerjaya dan rajin berusaha.

Terdahulu, pengakuan dibuat Rizky ketika muncul pada wawancara bersama Deddy Corbuzier di saluran YouTube pengacara itu.

Sehingga kini, apa yang pasti beberapa kisah cinta Rizky sering terkandas di tengah jalan meskipun bermula dengan penuh romantis.

Bagaimanapun, pada usia masih muda Rizky tetap matang. Bahkan, dia juga sangat mudah berbicara soal berkaitan hati dan perasaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 6:19 AM