CROWE jayakan watak lelaki yang mengalami depresi dalam Unhinged.
CROWE jayakan watak lelaki yang mengalami depresi dalam Unhinged.
Najiy Jefri


Bagi kaki wayang dan penggemar filem tempatan mahupun antarabangsa, pengumuman kerajaan membenarkan pawagam kembali beroperasi sejak 1 Julai lalu tentu disambut baik.

Sejak pawagam mula beroperasi banyak filem antarabangsa sudah menemui penonton tempatan antaranyai filem Train To Busan 2: Peninsula, Mulan, dan Deliver Us From Evil.

Terbaharu, filem Hollywood, Unhinged pula menemui penonton di pawagam sejak 24 September lalu dengan pelbagai aksi penuh debaran dan menyeramkan.

Filem yang diarahkan oleh Derrick Borte itu dibintangi pemenang Anugerah Academy, Russell Crowe serta beberapa bintang lain seperti Gabriel Bateman, Caren Pistorius, Jimmi Simpson dan Austin P McKenzie.

Unhinged mengisahkan seorang ibu tunggal, Rachel yang sedang dalam proses penceraian. Perwatakannya amat kelam-kabut dan sering lewat ke janji temu.

Satu hari, ketika Rachel menghantar anaknya, Kyle ke sekolah, dia bertembung seorang lelaki bernama Tom Cooper yang sedang mengalami depresi.

Oleh kerana Tom tidak menggerakkan keretanya ketika lampu isyarat bertukar hijau, Rachel menekan hon.

Tom kemudian mengekori kereta Rachel dan meminta agar Rachel meminta maaf, namun Rachel enggan berbuat demikian menyebabkan Tom naik hantu dan mengekorinya sepanjang hari.

Kata Crowe, ketika kali pertama membaca skrip filem Unhinged, dia mengakui tidak mahu menjayakan filem terbabit kerana jalan ceritanya amat menakutkan.

"Watak ini sangat gelap, tapi saya mula terfikir sejak bila saya berhenti melakonkan watak yang mencabar diri selama ini?

"Naskhah ini sesuatu yang baharu dan segar. Sebenarnya kalau saya baca skrip yang hampir sama dengan jalan cerita yang pernah saya jayakan dalam mana-mana filem sebelum ini, saya akan terus menolak.

PISTORIUS sebagai wanita yang sering diekori Tom lakonan Crowe.
PISTORIUS sebagai wanita yang sering diekori Tom lakonan Crowe.

"Namun, filem ini ada magis tersendiri selain menarik perhatian saya untuk melakukannya.

"Ketika saya membaca skrip filem ini saya mula rasa takut dan watak terbabit amat menyeramkan. Disebabkan itu, saya ingin mengambil cabaran itu dan lakukan dengan sebaik mungkin," katanya.

Bagi Pistorius, dia yang memainkan peranan sebagai wanita yang sering diekori Tom dengan pelbagai aksi menakutkan berkata, ketika diberitahu Crowe bakal memainkan peranan itu, dia tidak berfikir panjang.

"Ketika saya diberitahu Crowe bakal memainkan peranan sebagai Tom, saya tidak boleh membayangkan wajah pelakon lain.

"Crowe adalah aktor terbaik dan dia mampu menghidupkan setiap karakter dengan berkesan meski watak yang perlu dibawakan amat berat.

"Kita mungkin sering melihat Crowe menjayakan pelbagai jenis karakter sebelum ini, namun menerusi filem ini dia ternyata menjadi seseorang yang berbeza dan menakutkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 9:00 PM