SALEHA serah pada rezeki jika terbabit untuk sambungan drama 7 Hari Mencintaiku.
SALEHA serah pada rezeki jika terbabit untuk sambungan drama 7 Hari Mencintaiku.
Syafil Syazwan Jefri

Fenomena yang dicipta oleh drama 7 Hari Mencintaiku nampaknya tidak terhenti di bahagian kedua saja. Karya adaptasi novel itu bakal ada sambungannya.

Baru-baru ini, penulis skrip yang juga penerbitnya dikenali, Siti Rosmizah berkongsi mengenai bahagian ketiga siri popular itu yang akan dihasilkan.

Sehubungan itu, bintang utamanya, Siti Saleha mengakui amat terkejut dengan pengumuman dibuat sekali gus dia turut berasa teruja.

"Sebagai pelakon, saya tak nafikan sangat menyukai hasil karya Kak Siti (Rosmizah) sejak dari dulu lagi kerana penulisannya ada keunikan .

"Malah, kalau diamati serta dibaca dengan teliti sudah tentu kita sedar betapa mantapnya kekuatan jalan cerita diilhamkan.

"Ia ada ciri yang tersendiri. Justeru, untuk penghasilan bahagian ketiga 7 Hari Mencintaiku, saya sendiri tak tahu nak beri reaksi apa," katanya.

Menurut Siti Saleha, dia memang tak menduga. Katanya, sebelum ini dia ada juga dengar ura-ura mengenai bahagian ketiga itu, tapi sekadar fikirkan ia hanya khabar angin.

Ditanya mengenai pembabitannya dalam bahagian ketiga drama itu nanti, Siti Saleha berkata, pihaknya belum lagi menerima sebarang makluman mengenai kontrak.

"Setakat ini, apa yang boleh dikongsikan, pihak saya belum tandatangan sebarang kontrak dan tak tahu lagi bagaimana jalan ceritanya.

"Jadi, tak banyak yang boleh saya cerita sekarang. Namun, saya serahkan pada rezeki dan sekiranya memang ia milik saya pasti takkan ke mana," katanya.

Berkongsi juga mengenai karakter Mia dalam drama bersiri itu, Siti Saleha mengakui lakonannya adalah secara semula jadi.

"Saya lakonkan watak Mia itu semula jadi dan tak terlalu beria-ria. Ia adalah karakter yang santai, tapi penuh dengan pelbagai rasa.

"Kalau nak cakap ia adalah karakter berat, saya rasakan watak Mak Leha lakonan Liza Abdullah lebih berat," katanya.

Ditanya sama ada dia akan terima sekiranya ditawarkan untuk terbabit dalam bahagian ketiga drama itu, Saleha tidak menolak dan sedia memikirkannya.

"Untuk berlakon dalam drama yang panjang seperti ini, ia memerlukan komitmen tinggi. Saya tak nafikan rasa penat dan letih itu memang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:40 AM