BERSAMA isteri dan anak-anak.
BERSAMA isteri dan anak-anak.
Susunan Norhayati Nordin

Nama pelakon Indonesia, Dude Harlino pastinya tidak asing pada kalangan peminat sinetron di negara ini berikutan banyak karya lakonannya.

Malah, Dude, 40, yang kurang dipalit cerita sensasi kini menjalani hidup bahagia di samping isteri, pelakon Alyssa Soebandono dan dua anak mereka.

Apapun, memandangkan penularan Covid-19 di negaranya mencatat peningkatan setiap hari, Dude berkongsi pesan buat peminat.

Menerusi perkongsian foto di Instagram, Dude bersama anak lelakinya melakukan aktiviti riadah di kawasan rumah mereka.

Menurut Dude, kini masanya setiap hari diisi dengan aktiviti berfaedah dan sihat seperti bersenam dengan ditemani anak-anak.

"Bersenam lagi. Alhamdulillah, terus melakukannya dengan semangat. Baik untuk kesihatan dalam situasi pandemik ketika ini.

"Jaga protokol kesihatan, pakai masker (pelitup muka), jaga jarak dan selalu rajin tangan. Demi kesihatan kita semua.

"Semoga Allah beri perlindungan dan sihatkan kita semua," katanya yang cukup positif dalam usaha berkongsi peringatan kepada pengikutnya.

Rata-rata kebanyakan pengikut Dude menyambut baik termasuk memberi sokongan padanya untuk sama-sama terus bersabar.

Ternyata, kemunculan Covid-19 di Indonesia kini sangat hebat. Bahkan, dikatakan juga ramai petugas barisan hadapan yang tewas.

DUDE bahagia dalam rumah tangga yang dibina bersama  Alyssa sejak 2014.
DUDE bahagia dalam rumah tangga yang dibina bersama Alyssa sejak 2014.

Terdahulu, Dude juga berkongsi perasaan sedihnya terhadap situasi dilalui penceramah dikenali Syekh Ali Jaber yang cedera ditikam, baru-baru ini.

Syekh Ali didatangi seorang pemuda yang menusuk pisau kepadanya ketika melakukan aktiviti dakwah di sebuah daerah di Indonesia.

Menurut Dude, semoga pihak berkuasa menjatuhkan hukuman setimpal kepada pelaku berkenaan kerana mencederakan tokoh agama.

"Tidak sepatutnya perkara sebegitu berlaku pada majlis ilmu. Saya berharap pihak berkuasa memandang serius terhadap kejadian berkenaan.

"Hati saya sedih mengenangkan kejadian yang menimpa Syekh Ali itu. Dia tidak mengganggu orang lain dan hanya berdakwah.

"Pihak polis harus menyiasat kes ini sehingga ke akar umbi terutama mengetahui motif sebenar serangan dilakukan itu," katanya.

Sehubungan itu, Dude berkata, semua pihak seharusnya menghormati tokoh agama kerana ilmu disampaikan untuk penyuluh kehidupan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 7:50 AM