PEMERGIAN ibunya Sabtu lalu tinggalkan kesan mendalam dan turut berpesan hargai ibu bapa selagi masih ada.
PEMERGIAN ibunya Sabtu lalu tinggalkan kesan mendalam dan turut berpesan hargai ibu bapa selagi masih ada.
Sudirman Mohd Tahir

Penyanyi dan komposer, Zynakal mengakui kehilangan ibu tercinta, Zuridah Ibrahim, 53, yang meninggal dunia pada Sabtu lalu amat meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

Zynakal, 22, atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli berkata, pemergian arwah membuatkannya sedar dia bukanlah anak yang baik.

"Apabila sudah selesai kebumikan arwah dan tengok batu nisan, saya terus terdetik 'aku tanam mak aku sendiri'. Saya tak pernah jangka benda ini akan terjadi dalam hidup.

"Sejujurnya sebelum mak pergi, saya tak pernah hargai dia. Jujur, saya bukan seorang anak yang baik. Sampaikan kami pernah bergaduh, mak saya cakap kalau dia dah mati, jangan datang kubur dia.

"Betul orang-orang tua cakap, hargai ibu bapa kita selagi masih ada. Bila terjadi pada diri saya, baru terasa perasaan macam sangat kehilangan orang tersayang.

"Masa arwah masih hidup, saya jarang hubungi dia. Hubungan kami tidak seperti ibu dan anak. Masa dia di hospital, saya jarang melawat dia. Jujur, saya bukan anak yang baik," katanya.

GAMBAR kenangan Zynakal bersama ibunya, Allahyarham Zuridah Ibrahim.
GAMBAR kenangan Zynakal bersama ibunya, Allahyarham Zuridah Ibrahim.

Menerusi sesi siaran langsung di Instagram, penyanyi lagu Sakit itu berpesan kepada semua supaya sentiasa menghargai ibu bapa selagi hayat mereka masih ada.

"Kita tak tahu bila ibu bapa kita akan pergi. Kehilangan orang tersayang ini bukan macam bercinta dan putus. Tapi kehilangan ini tak akan dapat jumpa lagi buat selamanya," katanya.

Sementara itu, Zynakal juga mengakui masih tidak percaya ibunya sudah meninggal dunia.

"Hari kedua (kelmarin) ibu meninggal dunia. Masih tak percaya, tapi harus terima. Moga arwah tenang di sana," katanya.

Sebelum itu, menerusi satu lagi catatan di IG, Zynakal berkongsi keadaan jenazah ibunya yang wangi.

"Ibu nak tahu tak, tadi ibu wangi sangat dan bersih. Alhamdulillah, Ajip (Zynakal) dapat tolong ibu pindah rumah tapi bukan rumah dari Ajip lah. Ibu, Ajip minta maaf ya.

"Dulu kita gaduh besar dan ibu pernah cakap kalau ibu meninggal jangan datang kubur ibu. Tapi, alhamdulillah hari ini Ajip yang kebumikan ibu. Salam cinta terakhir dari anakmu, Raziq Rosli," katanya.

Terdahulu, Allahyarham yang juga kakak kepada penyanyi Zamani Slam menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman dan komplikasi buah pinggang di sebuah hospital swasta di Kampung Baru.

ZYNAKAL di sisi jenazah ibunya, sebelum dikebumikan.
ZYNAKAL di sisi jenazah ibunya, sebelum dikebumikan.

Berita berkaitan
Zamani memang dah rasa berat hati
Kakak Zamani Slam meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 6:40 AM