PESERTA gembira menghadapi cabaran disediakan.
PESERTA gembira menghadapi cabaran disediakan.
Sudirman Mohd Tahir

Selepas kejayaan program The Z Power di 8TV yang turut menjulang trofi Rancangan Realiti Terbaik di Anugerah Skrin 2019, kini TV3 memperkenalkan pula versi bahasa Malaysia iaitu Generasi Z .

Ia akan disiarkan mulai 11 Oktober ini, setiap Ahad, jam 7 malam yang pastinya akan ditunggu-tunggu oleh peminat setianya.

Program ini mengetengahkan lapan kanak-kanak terbaik yang akan diuji kecerdasan minda, kecergasan fizikal dan juga kekentalan jiwa mereka dalam menyelesaikan pelbagai cabaran dan ujian yang pasti meninggalkan impak positif diri.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, penerbitan program itu diharap dapat membentuk sahsiah dan jati diri dalam kalangan peserta yang masih muda dan juga penonton cilik di rumah.

"Generasi Z dihasilkan rentetan daripada kejayaan The Z Power yang disiarkan di 8TV, tahun lalu. Bagaimanapun, Generasi Z yang akan disiar di TV3 ini dijangka dapat menawan hati penonton terutama kanak-kanak.

HARRIS bersama peserta terpilih ketika mengendalikan program Generasi Z.
HARRIS bersama peserta terpilih ketika mengendalikan program Generasi Z.

"Program ini akan menampilkan persaingan sihat antara lapan peserta terbabit dalam pelbagai rintangan yang disediakan.

"Secara tidak langsung, program ini dapat membentuk kecekalan diri yang kuat bukan sahaja pada kalangan peserta, tetapi juga penonton cilik kami.

"Apatah lagi, kanak-kanak masa kini lebih cenderung dengan permainan dalam talian dan Generasi Z dapat memupuk semangat setiakawan, sikap tanggungjawab serta membentuk pemikiran positif dalam diri mereka untuk berhadapan segala rintangan," katanya.

Khairul Anwar berkata, pastinya program ini memberi kenangan manis kepada semua peserta untuk lebih berkeyakinan dan tidak bersikap anti sosial.

Generasi Z menampilkan Scott's DHA Gummies sebagai Penaja Eksklusif. Diterbitkan oleh Sky Pictures dan dihoskan oleh Harris Alif, program ini mempunyai 10 episod dengan menampilkan lapan Wira Z berusia dari sembilan hingga 12 tahun.

Lapan Wira Z yang akan beraksi ialah Muhammad Adam Haqimi Aizal Izuan atau Adam, 11 tahun, (Selangor); Nik Harraz Danish Nik Mohd Yusoff (Harraz, 11, Kuala Lumpur); Zara Nur Zaheera Nur Zaiki (Zara, 12, Kuala Lumpur); Asfa Danish Azwan (Asfa, 12, Kuala Lumpur); Aisy Aqil Rifaie Abdul Azim (Aisy, 10, Selangor); Larra Alicia Fadzil (Larra, 9, Selangor); Sarah Najihah Mohamad Fauzi (Sarah, 12, Selangor) dan Jurey Zara Anyssa (Jurey, 12, Putrajaya).

Kesemua Wira Z ini akan bersuai kenal dalam sesi perkhemahan selama dua hari satu malam yang diadakan di Semenyih Eco Venture. Penentuan khemah yang menjadi tempat penginapan mereka akan dibuat menerusi permainan 'paintball shooting'.

Selain itu, lapan Wira Z ini juga akan menjalani beberapa cabaran fizikal seperti Relay Race: Rock Climbing & Ninja Wall, Obstacle Speed Challenge, Dinner Game, Mud Challenge dan Lake Crossing.

AKTIVITI memanjat antara yang mencabar fizikal.
AKTIVITI memanjat antara yang mencabar fizikal.

Pada episod kedua pula, mereka dibahagikan kepada dua kumpulan untuk belajar mengenai gamelan dan silat gayong sebelum membuat persembahan pada program Wanita Hari Ini secara langsung.

Seterusnya, mereka berhadapan dengan siri cabaran IQ pada episod ketiga. Ia bukan hanya menguji daya ingatan, tetapi merangkumi pengetahuan asas dan tahap pemahaman.

Malah, mereka juga perlu bekerjasama secara berpasukan untuk mendapatkan markah paling tinggi dalam cabaran dihadapi itu.

Di episod yang lain pula, kesemua Wira Z dibawa untuk mengenali kerjaya sebagai cef untuk Little Junior Chef yang penggambaran di The Cooking House dengan dibahagi dua kumpulan.

Bagi cabaran ini, peserta perlu menyediakan menu set bento untuk lima kanak-kanak di bawah bimbingan cef profesional. Hasil air tangan berkenaan akan diagihkan ke rumah anak yatim.

Pengembaraan Wira Z juga diteruskan di Aquaria KLCC dalam paparan episod kelima. Mereka akan bermalam dan menjalankan aktiviti menarik untuk mengenali hidupan laut terutama di waktu malam.

Bahkan, wira-wira Z perlu menyelesaikan beberapa tugasan secara berkumpulan untuk mendapatkan markah terkumpul dalam cabaran dua hari satu malam.

Sehubungan itu, selepas lima episod disertai mereka juga akan berhadapan dengan dua sesi penyingkiran. Oleh itu, hanya empat Wira Z yang berpeluang merebut tempat pada pusingan akhir.

Justeru, untuk musim baharu The Z Power pula akan disiarkan pada hari yang sama, jam 9 malam di 8TV serta penonton juga boleh 'strim' di portal www.tonton.com.my.

Khairul Anwar
Khairul Anwar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 6:45 AM