AZZAM SHAM. FOTO IG AZZAM SHAM
AZZAM SHAM. FOTO IG AZZAM SHAM
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Azzam Sham dinasihatkan supaya mendapat rehat yang cukup berikutan masalah sakit tekak yang dialaminya ketika ini.

Azzam, 23, dihubungi berkata dia yakin keadaan kesihatannya mampu pulih sepenuhnya sebelum beraksi pada malam kemuncak Big Stage 2020, pada Ahad ini.

"Insya-Allah, saya akan berusaha memberi persembahan yang terbaik pada malam final nanti. Saya tak mahu kecewakan peminat dan pasukan saya yang banyak membantu sepanjang persaingan ini.

"Menang atau kalah, saya tak mahu fikir kerana sudah berjaya melayakkan diri untuk beraksi di malam final Big Stage 2020 pun, ia adalah satu kemenangan buat saya," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas juga dirinya yang dikatakan bersaing sengit dengan Usop, penyanyi lagu Biar Saja ini tidak menafikan perkara itu. Katanya, memang ramai peminat yang meramalkan dia dan Usop akan berentap berhabis-habisan.

"Pada saya, semua peserta yang layak bersaing di final iaitu Qody Rany, Dinie Rashid, Fadh Majid mahu pun Usop, masing- masing ada kehebatan dan strategi tersendiri.

"Untuk saya, paling utama biarlah persembahan dibuat itu mampu memberikan kepuasan sebenar pada diri. Apatah lagi, pentas Big Stage 2020 ini sangat besar buat bakat kecil seperti saya.

"Saya akan berusaha sebaik mungkin dan terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong saya. Tidak lupa, terima kasih juga pada ibu bapa, keluarga dan pasukan saya yang ada bersama setiap masa," katanya.

Pada malam kemuncak Big Stage 2020 itu, Azzam akan menyanyikan dua lagu iaitu Aku Bidadari Syurgaku nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Grenade (Bruno Mars).

Konsert Akhir Big Stage 2020 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), jam 9 malam yang dihoskan Alif Satar dan Sherry Alhadad.

Manakala, pemarkahan peserta pula akan dinilai barisan juri tetap iaitu komposer Ajai, penyanyi dan komposer, Faizal Tahir serta penyanyi popular, Dayang Nurfaizah.

#kw Azzam Sham, Big Stage 2020, penyanyi

#loc Kuala Lumpur

-ENDS/

 

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 8:52 PM