NAYSILA dikatakan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan lelaki pilihan dikenali Roestiandi Tsamanov.
NAYSILA dikatakan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan lelaki pilihan dikenali Roestiandi Tsamanov.
Susunan Norhayati Nordin

Nama pelakon Indonesia, Naysila Mirdad pernah menjadi perhatian di negara ini menerusi sinetron lakonannya seperti Liontin, Intan, Cahaya, Sekar dan banyak lagi.

Namun, menariknya mengenai peribadi anak pasangan selebriti terkenal Jamal Mirdad dan Lidya Kandau ini, dia cukup berahsia mengenai kisah cintanya.

Sepanjang membina kerjaya lakonannya sejak 2005, Naysila bijak menjaga nama baiknya kerana jarang dipalit dengan gosip dan cerita sensasi.

Pun begitu, pada Mei lalu Naysila dikhabarkan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan lelaki pilihan dikenali Roestiandi Tsamanov.

Meskipun tidak terlalu menguar-uarkan kisah berkaitan perkahwinan itu, Naysila juga dikatakan kini berstatus mualaf kerana sudah memeluk Islam.

Perkara perpindahan agama Naysila itu didakwa pernah dikongsikan bapanya menerusi wawancara di saluran YouTube tidak lama dulu.

Jamal yang ditanya mengenai perancangan perkahwinan anaknya tidak berselindung serta memaklumkan Naysila sudah bertukar agama.

"Insya-Allah, dia mualaf. Itu yang paling pokok (utama)," katanya ringkas. Terdahulu, Jamal menjalani kehidupan berbeza agama dengan isterinya, Lidya.

Apapun, menerusi hantaran foto Naysila bersama ibu, Lidya yang dikongsikan di Instagram pada awal September lalu mendapat pujian warganet.

Kebanyakan pengikut pelakon berusia 32 tahun ini, menyifatkan wajahnya semakin cantik, berseri dan kelihatan sangat tenang.

Bahkan, ramai juga yang mendoakan kesejahteraan buat Naysila dan diharapkan dia akan kekal berpegang teguh dengan Islam.

Bagaimanapun, Naysila yang ditanya mengenai status agamanya enggan mengulas dan ia dianggap sebagai menghormati ibunya.

Sebelum mengenali calon suaminya, Naysila didakwa pernah menjalin cinta dengan tiga jejaka iaitu Dude Harlino, Ignas Jendatara Boliona Jenda dan Benjamin Pandelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 6:16 AM