CIPTA nama di pentas komedi dan mula meraih populariti di pelbagai negara
CIPTA nama di pentas komedi dan mula meraih populariti di pelbagai negara
Syafil Syazwan Jefri


KOMEDI sentiasa menjadi platform terbaik untuk melontarkan buah fikiran dalam bentuk jenaka.

Ada sesetengah buah fikiran yang kadang-kadang kasar untuk dilontarkan dalam kata-kata biasa, namun dapat diterima dengan baik sekiranya disuntik dengan elemen jenaka.

Itulah yang dilakukan pelawak, Dr Jason Leong, yang beralih kerjaya daripada doktor perubatan kepada pelawak.

Terbaharu, acara persembahannya, Dr Jason Leong: Hashtag Blessed ditayangkan di platform penstriman Netflix dan boleh ditonton di 190 negara bermula 16 September lalu.

Dirakamkan pada 2018, Jason tidak menafikan timbul rasa rindu untuk berdiri di pentas dan ditonton penonton secara langsung.

"Dr Jason Leong: Hashtag Blessed dirakamkan pada Jun 2018. Ketika itu, siapa sangka kita akan berdepan serangan Covid-19 seperti hari ini. Apabila menonton semula persembahan itu, saya gembira melihat penonton dapat menonton dan ketawa tanpa mengenakan pelitup muka.

"Perasaan itu juga muncul kerana kita semua mungkin tak dapat lagi nak berada dalam situasi itu memandangkan perlu mengikuti norma baharu. Bukan saja untuk persembahan saya, tetapi juga untuk pelbagai acara persembahan yang lain," katanya.

Walaupun kini dia mencipta nama di pentas komedi dan mula meraih populariti di pelbagai negara, Dr Jason berkongsi rasa kagum dan memberikan penghormatan terhadap rakan-rakannya yang masih bekerja dalam bidang perubatan.

"Bila saya ambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai doktor pada 2013, saya terus bergerak ke depan sebagai pelawak.

"Namun, dalam krisis pandemik seperti yang berlaku sekarang, timbul pula rasa rindu untuk bekerja sebagai pejuang barisan hadapan," katanya.

Menurutnya, dia bukanlah tidak gembira dengan pencapaiannya, tetapi lebih kepada 'cemburu' dengan khidmat yang dicurahkan rakan-rakannya.

DR Jason kongsi rasa kagum dan memberikan penghormatan terhadap rakan yang masih bekerja dalam bidang perubatan.
DR Jason kongsi rasa kagum dan memberikan penghormatan terhadap rakan yang masih bekerja dalam bidang perubatan.

"Saya gembira dengan pencapaian saya dan kerja saya sekarang. Saya mungkin tak dapat nak curahkan bakti seperti mana rakan-rakan barisan hadapan yang lain.

"Sedikit sebanyak, ada rasa 'cemburu' kerana mereka berpeluang berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Yang pasti, Jason akan terus membawa nama Malaysia ke pentas komedi dunia sekali gus memperkenalkan bakat yang ada dalam dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 6:44 AM