AZZAM Sham
AZZAM Sham
Syafil Syazwan Jefri

Putrajaya: Penyanyi, Azzam Sham diumumkan sebagai juara program realiti Big Stage 2020 dan berjaya membawa pulang hadiah utama wang tunai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Azzam yang menyampaikan dua lagu iaitu Aku Bidadari Syurgamu dan Grenade di pentas akhir yang berlangsung malam tadi berkata, kejuaraannya bukan miliknya seorang diri.

"Ini rezeki daripada Allah kerana bakat ini milik Allah. Allah Maha Besar.

"Sebenarnya, saya dan semua 'adik beradik' (peserta-peserta Big Stage 2020) adalah juara di hati peminat kami," katanya.

Tempat kedua dimenangi oleh Usop yang menyampaikan lagu Arjuna dan Peluang Kedua, sekaligus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi.

Sementara itu, pemenang tempat ketiga, Qody Rany membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 berserta trofi.


Tempat keempat dan kelima dimenangi oleh Dinie Rashid dan Fadh Majid. Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan RM5,000 berserta trofi.

Big Stage 2020 diacarakan oleh dio pengacara, Alif Satar dan Sherry Alhadad di samping barisan juri tetap, Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah dan Ajai.

Kerusi juri jemputan di pentas akhir diisi oleh penyanyi, Misha Omar manakala Presiden Netizen diwakili oleh Elly Mazlein.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 5:08 AM