JALENA
JALENA
Najiy Jefri

Penerbit Country Universal Sdn Bhd, Jalena Rejab menzahirkan rasa syukur apabila tiada larangan untuk melakukan aktiviti penggambaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula esok hingga 27 Oktober ini.

Jalena ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Rahimah Tanpa Rahim berkata, rata-rata kru produksi serta pelakon drama itu bimbang dengan situasi yang berlaku.

"Selain bimbang dengan baki penggambaran yang belum selesai, saya juga bimbang dengan nasib kru produksi dan pelakon untuk mereka meneruskan kehidupan.

"Namun, saya bersyukur dan berterima kasih apabila pihak kerajaan membenarkan sesi penggambaran diteruskan seperti biasa dan tiada larangan untuk aktiviti penggambaran.

"Ketika pengumuman PKPB bakal dilaksanakan, rata-rata kru dan pelakon sudah tidak senang duduk serta bimbang dengan nasib yang bakal ditempuh," katanya.

Menurut Jalena, pihaknya sentiasa mengingatkan kru produksi dan pelakon untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sejak drama terbitannya itu menjalani penggambaran pada awal September lalu.

"Sejak hari pertama penggambaran drama ini, saya sentiasa memantau dan berada di lokasi bagi memastikan setiap individu mematuhi SOP.

"Setiap orang di lokasi turut diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut sepanjang masa kecuali pelakon di depan kamera. Pihak kami juga akan pastikan suhu badan serta nama setiap yang hadir direkod sebelum mulakan penggambaran," katanya.

Terdahulu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memaklumkan tiada larangan untuk semua syarikat produksi melakukan aktiviti penggambaran susulan PKPB dikuatkuasakan.

Rahimah Tanpa Rahim dibintangi Azlee Khairi, Puteri Aishah, Hafidz Roshdi, Mustaqim Bahadon, Liza Abdullah dan Amelina.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 5:46 PM