ALFIE Templeman mahu ceriakan kehidupan orang ramai. - FOTO Google
ALFIE Templeman mahu ceriakan kehidupan orang ramai. - FOTO Google
Georgie Joseph


WALAUPUN baru berusia 17 tahun, penyanyi Alfie Templeman tidak melihat ia sebagai penghalang untuk tampil dengan karya muzik mendalam.

Baginya, batas berkarya bukan diukur menerusi berapa usia seseorang itu.

Sebaliknya, penyanyi dari United Kingdom ini sentiasa menjadikan aspek berharga dalam kehidupan sebagai bahan menulis. Tentu sekali banyak peristiwa dalam hidupnya boleh menjadi pencetus idea.

Namun, Alfie menyifatkan perkara yang sangat menyentuh hatinya dalam berkarya adalah mengenai kenangan. Justeru, dia mahu mengabadikan rasa itu dalam lagu-lagunya.

Ia termasuk dalam lagu baharunya berjudul Forever Isn't Long Enough yang kerap dimainkan di stesen radio. Kebijaksana annya mencantum bait dalam lirik lagu itu jelas terserlah.

"Ada masanya saya tidak henti berfikir betapa singkatnya hidup ini. Berapa lama lagi masa mampu kita nikmati bersama orang yang tersayang? Mendalam bukan?

HASILKAN karya untuk abadikan memori dalam hidup. - FOTO Google
HASILKAN karya untuk abadikan memori dalam hidup. - FOTO Google

Saya ada buat banyak lagu menggunakan judul Forever Isn't Long Enough tapi ini yang paling berkesan. Ia memberi erti yang sangat besar buat diri saya secara peribadi," katanya.

Bercerita lanjut, dia mengakui perjalanan hidupnya masih jauh. Namun, dia sudah dapat merasakan betapa indahnya mengungkap kata mengenai kenangan.

"Mungkin saya masih muda bercerita mengenai kehidupan. Apatah lagi untuk cuba memberi nasihat atau kata-kata hikmah kepada orang lain. Bagaimanapun, seperkara yang jelas adalah kita seharusnya tidak membataskan diri mengecap setiap kebahagiaan diimpi.

"Daripada kebahagiaan, ia akan bertukar kepada memori. Saya menyedari, semakin jauh memori itu kita tinggalkan, semakin dekat ia tersemat dalam hati," katanya.

Ada sebabnya Alfie menegaskan mengenai perkara itu dan kenapa dia begitu menghargai setiap detik nafasnya. Ini kerana sejak kecil dia disahkan mengalami masalah paru-paru dan kesihatannya sentiasa terdedah dengan bahaya.

Bagaimanapun, dia tidak sesekali mahu tunduk dengan hal yang secara tidak langsung menimbulkan kepedihan dalam hati itu dan dia tidak akan mengalah.

"Ia sudah tidak membimbangkan saya lagi. Malah, saya antara yang mudah terdedah kepada virus Covid-19 sejak Mac lalu tapi berusaha melindungi diri sambil menikmati kehidupan bahagia," katanya.

Menerusi muzik video lagu terbabit juga, dia menyuntik elemen keceriaan dan warna-warni kehidupan. Baginya, setiap manusia berhak berseronok selagi masih hidup.

"Saya memang sentiasa teringin membuat muzik video berwarna-warni yang mudah menarik perhatian ramai. Kru yang terbabit benar-benar tampil dengan hasil memuaskan. Mereka berjaya gambarkan suasana di mana walau di usia berapa kita sekalipun, kita kena berseronok. Inilah maksud tepat untuk lagu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 6:33 AM