Ammar bersama peguamnya. FOTO IG AMMAR
Ammar bersama peguamnya. FOTO IG AMMAR
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Ammar Alfian menerusi Instagram mengesahkan kini sudah bercerai dengan pasangannya dikenali, Nelissa Nezam secara tebus talak, Rabu lalu. 

Menurutnya,  kebenaran berpihak kepada dirinya apabila mahkamah kini tahu sikap sebenar Nelissa. 

"Alhamdulillah. Hari ini, mahkamah benarkan saya dan isteri bercerai secara tebus talak dengan bayaran iwad dibayar oleh bekas isteri kepada saya, RM7,000. 

"Akhirnya, kebenaran terbukti. Dia mungkin berjaya membodohkan dunia bersama media menentang saya, namun kebenaran tetap akan terbukti. 

"Sekarang, satu Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan tahu perangai sebenar dia," tulisnya. 

Tambahnya, dia juga tidak akan memaafkan apa yang pernah dilakukan bekas isterinya terhadap kedua-dua orang tuanya. 

"Apa yang awak sudah lakukan kepada ibu dan ayah saya, takkan saya maafkan," tulisnya. 

Sementara itu, Nelissa nampak tenang di Instagramnya dengan berkongsi rasa lega di IG Story. 

"Selepas keletihan secara fizikal, mental dan emosi melalui proses dan ujian ini, Alhamdulillah akhirnya saya sah bercerai. 

"Mahkamah Syariah Kuala Lumpur memutuskan saya supaya membayar sejumlah wang kepada bekas suami, untuk membenarkan perceraian. 

"Sejumlah wang itu adalah berdasarkan undang-undang yang tidak konkrit. Sejumlah wang yang dipaksa.

"Sejumlah wang untuk lelaki yang menyeksa saya, curang dan tidak pernah memberi nafkah buat anak," tulisnya. 

Semalam, Nelissa juga memuat naik foto bersama anaknya, Kyro Shakur. 

"Untuk kehidupan penuh cabaran bersama kamu, sayang," tulisnya mengiringi foto itu. 

Ammar dan Nelissa berkahwin pada Mac 2016 dan kini memiliki cahaya mata, Kyro Shakur yang berusia setahun. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 9:39 AM